Home Politik PN layak digelar kluster derhaka – Noor Hariri

PN layak digelar kluster derhaka – Noor Hariri

Noor Hariri Mohamed Noor

KUALA LUMPUR – Tidak timbul soal UMNO sabotaj gerak kerja kerajaan Perikatan Nasional (PN) dengan penarikan sokongan sebagaimana diumumkan Presiden parti, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi Selasa lalu.

Penarikan balik sokongan itu diputuskan Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO kerana parti dan rakyat sedia maklum perdana menteri gagal mengemudi dan mengurus negara sepanjang darurat kesihatan dilaksanakan.

Sehubungan itu, Pemuda UMNO Kelantan menyifatkan pernyataan pendirian teguh Pemuda PN untuk terus mendokong kerajaan sekarang sebagai nakal dan tidak berasas.

Ketuanya, Noor Hariri Mohamed Noor berkata, UMNO tidak akan sekali kali bersengkokol dengan penderhaka kepada Yang di-Pertuan Agong sebagaimana dilakukan pimpinan PN.

“Kita memandang serius pernyataan nakal Ketua Pemuda PN Malaysia, Ir. Khairil Nizam Khirudin semalam, yang mahu berdiri teguh untuk terus mendokong kerajaan PN.

“Kami ingin nyatakan, penarikan sokongan terhadap PN dan Perdana Menteri kerana tidak mahu bersengkokol dengan penderhaka yang telah beberapa kali mempermainkan titah Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong.

“Bahkan, tidak timbul langsung soal sabotaj gerak kerja kerajaan PN kerana semua rakyat tahu perdana menteri gagal mentadbir negara dengan kes Covid-19 semakin meningkat, bukan menurun sepanjang darurat,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Beliau menyifatkan Ketua Pemuda PN, Ir. Khairil Nizam terlalu angkuh dan perlu cermin diri terlebih dahulu sebelum membuat tuduhan dangkal dan jijik kepada rakan Muafakat Nasional (MN).

Menurut beliau, krisis Perlembagaan yang berlaku hari ini, jelas membuktikan semua parti komponen dalam PN layak digelar sebagai kluster derhaka.

Justeru, Noor Hariri yang juga Ketua Pemuda UMNO Bahagian Pasir Mas menggesa Tan Sri Muhyiddin Yassin segera meletakkan jawatan secara terhormat kerana telah hilang sokongan majoriti dan keabsahan selaku ketua kerajaan.

Pada masa sama, beliau meminta semua Ahli Parlimen UMNO akur keputusan MKT untuk tidak berkompromi dengan sebarang perbuatan penderhakaan terhadap Yang di-Pertuan Agong.

Mesyuarat MKT pada 3 Ogos lalu, katanya, telah memilih untuk mengambil pendirian berpihak kepada Yang di-Pertuan Agong dan tidak akan mempertahankan kerajaan PN selaras dengan Fasal 3.3 Perlembagaan UMNO.

“Ahli Parlimen UMNO mesti menunjukkan kesetiaan dan ketaatan yang tidak berbelah bagi kepada Seri Paduka Baginda YDP Agong sebagai menjunjung prinsip Raja Berperlembagaan,” katanya. – MalaysiaGazette

1 Komen

  1. Sapa yg Derham sekarang ni..
    PN ke UMNo?
    Jgn sebab pemimpin takde pendirian ahli2 lain kena ikut membuta. Jgn sbb segelintir Pemimpin nak lepas tengkuk sendiri parti digadai..
    Hati2 wahai ahli2 umno..
    Jgn sampai UMNO yg di cap penderhaka..

Comments are closed.