PELAN Pemulihan Negara (PPN) yang sedang dilaksanakan oleh kerajaan adalah strategi peralihan keluar secara berfasa daripada ancaman pandemik Covid-19. Strategi terbabit merangkumi empat fasa dan akan melibatkan pelan peralihan dari fasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) secara berperingkat.
Setiap fasa pelan pemulihan ini berpaksikan kepada data yang bersandarkan tiga indikator ambang utama untuk beralih dari satu fasa ke fasa seterusnya, iaitu bilangan kes jangkitan harian, keupayaan sistem awam berdasarkan kadar penggunaan katil di wad unit rawatan rapi (ICU) dan tahap populasi yang dilindungi berdasarkan peratusan yang lengkap menerima dua dos suntikan vaksin.
Pada ketika ini kita tidak boleh menganggap PPN ini menemui kegagalan hanya kerana berlaku peningkatan yang mendadak jumlah kes jangkitan harian. Ironinya terlalu awal untuk kita membuat andaian mahupun rumusan seperti itu.
Hal ini kerana, kita perlu memahami situasi peningkatan kes jangkitan yang mendadak ini
adalah berpunca daripada ujian saringan yang sedang dilaksanakan secara besar-besaran terutamanya ke atas kumpulan yang telah dikenalpasti berisiko, selain peningkatan kes juga disumbangkan oleh varian Delta yang merebak dengan pantas dan drastik.
Jadi anggota masyarakat tidak wajar terkejut atau panik dengan peningkatan kes
secara mendadak ini, malah jangan lupa sebelum ini Ketua Pengarah Kesihatan, Tan
Sri Dr Noor Hisham Abdullah pernah mengumumkan unjuran kes positif mungkin
boleh mencecah 24,000 sehari pada pertengahan September nanti.
Justeru apa yang penting sekarang ialah semua pihak perlu sepakat fokus kepada
usaha untuk menjayakan PPN agar kita dapat keluar dari kemelut ini dengan segera
seperti yang telah dirancang oleh pihak kerajaan. Semua pihak perlu memikul tanggungjawab ini kerana sampai bila kita mahu meneruskan kehidupan dalam
situasi terkurung dan terbatas seperti ini.
Sudah tentu semua orang mahu kembali menjalani kehidupan seperti biasa, bebas
keluar untuk bekerja dan melakukan aktiviti sosial yang lain, di samping memberi
perhatian untuk memulihkan ekonomi negara.
Jadi fokus utama sekarang ialah inisiatif untuk meningkatkan kadar vaksinasi sekali
gus segera mencapai misi imuniti kelompok. Kerajaan menyasarkan seratus peratus
populasi dewasa di Malaysia menerima dos lengkap vaksin Covid-19 menjelang
Oktober ini. Menurut Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, mengikut jadual
asal, 80 peratus penduduk Malaysia dijangka menerima dos lengkap menjelang suku
pertama 2022, namun sasaran itu dipercepatkan ke Disember depan.
Oleh itu semua pihak perlu menyokong kejayaan Program Imunisasi Covid-19
Kebangsaan (PICK). Program ini sudah mula rancak apabila jumlah pemberian vaksin
harian terus mencatatkan peningkatan dan mula mencapai sasaran 500,000 dos
sehari. Dalam konteks ini tumpuan khusus kepada penduduk di Selangor dan Kuala
Lumpur juga sangat penting dalam kita memutuskan rantaian penularan wabak.
Dalam hal ini kerajaan menyasarkan 100 peratus populasi dewasa di Selangor dan
Kuala Lumpur menerima sekurang-kurangnya satu dos vaksin pada Ogos ini. Selain
itu, hampir semua negeri juga dijangka mencatatkan kadar vaksinasi melebihi 50 peratus menjelang akhir Ogos ini diikuti peningkatan kepada 70 peratus pada September.
Secara umumnya inisiatif seperti pembukaan lebih banyak Pusat Pemberian Vaksin
(PPV) termasuk pandu lalu, perkhidmatan vaksinasi dari rumah ke rumah serta
kebenaran untuk golongan warga emas hadir secara walk-in untuk mendapatkan
vaksin banyak membantu peningkatan populasi yang menerima vaksin.
Justeru anggota masyarakat perlu berusaha untuk mendapatkan vaksin dengan
segera melalui segala saluran dan kemudahan yang disediakan oleh pihak berkuasa.
Janganlah menolak vaksin dan jangan juga memilih mahu ambil vaksin yang mana
satu. Penulis percaya sasaran imuniti kelompok menjelang akhir tahun ini adalah
sangat realistik dan mampu dicapai jika semua pihak dapat memainkan peranan
yang signifikan.
Pada masa yang sama, pematuhan terhadap prosedur operasi standard (SOP) juga
perlu terus dititikberatkan oleh semua pihak. Walaupun pihak berkuasa telah
mengeluarkan pelbagai SOP yang cukup jelas dan terperinci namun masih ramai
yang terus degil dan melanggar SOP terbabit. Sikap acuh tak acuh serta tidak
mempedulikan keselamatan diri, keluarga dan masyarakat sekeliling seperti ini wajar
dihentikan. Tatkala barisan petugas hadapan bertungkus lumus memberikan rawatan
dan berusaha untuk memutuskan rantaian penularan, sikap seperti ini bukan saja
tidak membantu malah mengeruhkan lagi keadaan.
Jadi semua pihak perlu terus berdisiplin dan mematuhi SOP sepanjang masa supaya
kita dapat memutuskan rantaian penularan, mengurangkan kes yang perlu dirawat di
hospital, mengurangkan angka kematian serta boleh segera beralih ke fasa berikut
dalam PPN.
Tuntasnya, PPN adalah satu pelan perancangan yang sangat penting dan mempunyai
strategi serta matlamat yang cukup jelas untuk mengeluarkan negara dari krisis
wabak secara selamat dan sistematik. Harus diingat kejayaan PPN ini bergantung
kepada sokongan dan penyertaan semua pihak. Oleh itu marilah kita bersepakat
untuk menjayakannya.
Noor Mohamad Shakil Hameed
Pentadbir universiti dan penganalisis isu semasa