KUALA LUMPUR – Cabaran untuk pemburuan pingat oleh Datuk Azizulhasni Awang dalam acara pecut individu dalam Sukan Olimpik Tokyo 2020 berakhir selepas beliau tewas pada perlumbaan repechages pusingan ketiga sebentar tadi.
Turut menerima nasib sama adalah rakan senegaranya Shah Firdaus Sahrom dalam acara yang sama.
Dalam saingan pertama, Azizulhasni atau popular sebagai The Pocket Rocketman tewas kepada pelumba Belanda, Jeffrey Hoogland sebelum kalah 0.042 saat kepada juara bertahan yang juga juara dunia dari Great Britain, Jason Kenny dalam dalam saingan Repechages 1/8 di Velodrome Izu.
Ia sekaligus menyaksikan beliau gagal mara ke suku akhir acara pecut itu kali ini.
Shah Firdaus pula gagal mara ke pusingan suku akhir selepas tewas catatan masa 0.133 saat kepada juara dunia dari Belanda, Harrie Lavreysen.
Dia kemudian kalah sekali lagi kepada pelumba Perancis, Sebastien Vigier dan Sam Webster dari New Zealand.
Bagaimanapun, Azizulhasni dan Shah Firdaus masih mempunyai satu lagi acara yang perlu disertai pada hujung minggu ini yang menjadi sandaran pingat iaitu acara keirin, pada Sabtu ini.-MalaysiaGazette