Home Nasional Ada penduduk flat Gugusan Semarak elak PKPD demi gaji harian

Ada penduduk flat Gugusan Semarak elak PKPD demi gaji harian

Anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM) melakukan kerja-kerja memasang kawat duri sekitar Flat Gugusan Semarak berikutan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) mulai 6 Ogos sehingga 19 Ogos ketika tinjauan lensa Malaysia Gazette di Damansara, Selagor. Foto HAZROL ZAINAL, 06 OGOS 2021.

PETALING JAYA – Polis mengenalpasti sebilangan kecil penghuni perumahan Flat Gugusan Semarak, Seksyen 4, Kota Damansara di sini telah melarikan diri bagi mengelak daripada menjalani Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di kawasan berkenaan bermula tengah malam tadi.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya Asisten Komisioner Mohamad Fakhrudin Abdul Hamid berkata, mereka yang berjaya meloloskan diri itu dipercayai terdiri daripada individu yang perlu menghadirkan diri ke tempat kerja untuk mendapatkan gaji harian.

“Setakat ini kita dapati sememangnya ada sebilangan kecil telah melarikan diri, sangat minimum jumlah itu.

“Mereka bimbang nafkah harian akan terjejas kerana tidak dibenarkan keluar bekerja apabila sudah dikuatkuasakan PKPD, sebab itu mereka sanggup ambil risiko lari ke tempat kerja untuk gaji harian kerana tidak mahu terperangkap dalam flat PKPD hingga 19 Ogos ini.

“Bagaimanapun, kita akan memasang kawat duri Angkatan Tentera Malaysia (ATM) di sekitar kawasan perumahan flat PKPD ini selain ‘checkpoint’ didirikan untuk memastikan penduduk tidak melarikan diri sepanjang tempoh perjalanan PKPD berkenaan,” katanya dalam sidang media di sini tengah malam tadi.

Sementara itu, Pegawai Daerah Petaling Datuk Johary Anuar berkata, dianggarkan seramai 5,200 penghuni membabitkan 1,040 unit kediaman terlibat dalam pelaksanaan PKPD di kawasan perumahan tersebut dan bancian akan dilaksanakan Jumaat untuk mendapatkan jumlah sebenar penduduk.

Katanya, daripada jumlah itu 60 peratus adalah warga tempatan manakala selebihnya merupakan warga asing yang bekerja sebagai pekerja kontrak, pengawal keselamatan dan tukang cuci.

Anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM) melakukan kerja-kerja memasang kawat duri sekitar Flat Gugusan Semarak berikutan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) mulai 6 Ogos sehingga 19 Ogos ketika tinjauan lensa Malaysia Gazette di Damansara, Selagor. Foto HAZROL ZAINAL, 06 OGOS 2021.

“Sepertimana di kawasan PKPD di Mentari Court dan Apartmen Damai di daerah ini, kita akan melaksanakan konsep sama di Flat Gugusan Semarak ini yang mana kita akan melaksanakan saringan Covid-19 dalam tiga hari pertama terhadap penduduk di sini.

“Kemudian mereka yang dikesan positif akan dikuarantin manakala bagi kes negatif kita akan memberikan mereka vaksin sama ada dos pertama atau kedua sepanjang tempoh PKPD dilaksanakan di flat ini,” katanya.

Mengulas mengenai rawatan susulan bagi pesakit yang memerlukan rawatan hospital, katanya, rujukan pakar atau janji temu susulan akan dibenarkan keluar.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, ACP Mohamad Fakhrudin Abdul Hamid (dua kiri) mengatakan sesuatu dengan Pegawai Daerah Petaling, Datuk Johary Anuar (kanan) mengenai pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di Flat Gugusan Semarak mulai 6 Ogos sehingga 19 Ogos ketika tinjauan lensa Malaysia Gazette di Damansara, Selagor. Foto HAZROL ZAINAL, 06 OGOS 2021.

Katanya, Pegawai perubatan dari Pejabat Kesihatan Daerah Petaling iaitu Dr.Sudeash Rajakrishnan akan menguruskan segala proses kesihatan di kawasan tersebut.

“Namun sebelum itu mereka akan menjalani penilaian risiko sebelum dibenarkan mendapatkan rawatan di mana-mana hospital berhampiran,” ujarnya.

Menyentuh mengenai proses pengagihan bakul makanan kepada penduduk berkenaan, Johary juga menjelaskan ia akan dilaksanakan oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat dengan kerjasama Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela) dan juga bantuan logistik daripada Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ).

Tinjauan MalaysiaGazette sejam setengah sebelum PKPD bermula di Flat Gugusan Semarak itu mendapati polis dan pihak berkuasa tempatan sudah memasang lebih 20 khemah putih sebagai persiapan awal PKPD malam tadi.

Anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM) melakukan kerja-kerja memasang kawat duri sekitar Flat Gugusan Semarak berikutan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) mulai 6 Ogos sehingga 19 Ogos ketika tinjauan lensa Malaysia Gazette di Damansara, Selagor. Foto HAZROL ZAINAL, 06 OGOS 2021.

Sekitar jam 11.55 malam tadi, gulungan kawat duri dari trak tentera telah dikeluarkan dan mula dipasang sejam kemudian selepas penghuni di situ diarahkan mengalihkan kenderaan yang diparkir di tepi jalan sebagai memberi laluan kepada proses pemasangan kawat duri.

Sekitar jam 10 malam, laluan utama ke flat perumahan itu telah disekat oleh polis dan papan jalan ditutup didirikan selain SJR polis dipasang untuk mengawasi kenderaan yang datang berurusan mengelak sebarang pencerobohan pihak luar.

“Semua penduduk di kawasan PKPD ini dinasihati supaya kekal bertenang dan mematuhi arahan yang dikeluarkan pihak berkuasa dari semasa ke semasa sepanjang tempoh PKPD dikuatkuasakan sehingga 19 Ogos ini.

“Untuk kemudahan penghantaran makanan atau barang keperluan basah dari luar, kita akan menyediakan kaunter e-hailing yang akan dikendalikan oleh JKM yang mana jumlah penghantaran ditentukan tiga kali sehari atau lebih bergantung jumlah barang yang diterima,”tegas beliau.-MalaysiaGazette