Home Politik Makkal Sakthi kekal sokong UMNO

Makkal Sakthi kekal sokong UMNO

RS Thanenthiran

KUALA LUMPUR – Keputusan segelintir parti dan pemimpin dalam kalangan UMNO dan Barisan Nasional (BN) untuk terus menyokong kerajaan Perikatan Nasional (PN) dan Perdana Menteri tidak sedikit pun membuat parti Makkal Sakti cuak.

Malah tegas presidennya, Datuk Seri RS Thanenthiran, beliau tetap menyokong penuh keputusan Majlis Tertinggi (MT) UMNO untuk tidak akan mempertahankan kerajaan PN selain tidak menyokong Tan Sri Muhyiddin Yassin.

“Pada saya senang sahaja, susah senang jatuh bangun kami adalah bersama UMNO. Walaupun kami adalah parti yang kecil tetapi yang telah berjasa dengan kami selama ini adalah UMNO.

“Apa sahaja yang telah diputuskan oleh Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid tempoh hari itulah yang akan Makkal Sakti ikut dengan penuh setia.

“Walaupun ada cakap-cakap kononnya ketika pandemik ini banyak sangat pihak yang cuba bermain politik tetapi itu yang sedang berlaku ketika ini. Kami seluruh pimpinan tertinggi serta ahli buat ketetapan terus bersama menyokong keputusan tersebut.

“Pada kami bukan PN yang berjasa kepada masyarakat India terutamanya yang banyak menabur jasa melalui bekas pemimpin terutamanya Datuk Seri Najib Razak, banyak sungguh manfaat telah dirasai ketika itu.

Ahmad Zahid sebelum ini mengumumkan keputusan MT UMNO tidak akan mempertahankan kerajaan PN dan mendesak Muhyiddin mengambil tanggungjawab atas kegagalan dan keingkaran kerajaan pimpinan beliau terhadap Yang di-Pertuan Agong.

Bagaimanapun hari ini, seramai 31 Ahli Parlimen UMNO dan BN hari ini, menyatakan sokongan dan kekal bersama kerajaan PN pimpinan Muhyiddin Yassin.

Ketika mengumumkan pendirian itu, mereka juga menyokong supaya keabsahan kerajaan PN dan kepemimpinan Perdana Menteri ditentukan ketika persidangan Parlimen pada September depan.

Pendirian itu dinyatakan dalam sidang media yang dihadiri 21 ahli Parlimen BN diketuai Timbalan Perdana Menteri yang juga Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Seramai 10 lagi ahli Parlimen BN yang bersetuju mengambil pendirian sama tidak hadir ketika sidang media terbabit. -MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN:

31 ahli Parlimen BN kekal sokong kerajaan PN – Ismail Sabri

1 Komen

Comments are closed.