SUNGAI BULOH – Seorang remaja perempuan yang mendedahkan mengenai jenaka rogol membabitkan seorang guru pada April lalu menegaskan kenyataan yang dikeluarkannya sebelum ini hanya bertujuan menjadikan sekolah sebagai tempat yang selamat untuk semua pelajar.
Menurut Ain Husniza Saiful Nizam, 17, dia tidak pernah berniat untuk menghina mana-mana pihak.
“Ia adalah hak kami sebagai pelajar untuk mendapat persekitaran yang selamat ketika berada di sekolah,” katanya.
Ain Husniza berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas selesai memberi keterangan berhubung laporan polis yang dibuat oguru berkenaan baru-baru ini di hadapan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sungai Buloh hari ini.
Remaja terbabit bersama bapanya, Saiful Nizam Ab Wahab serta peguam, Datuk Sankara Nair masuk ke IPD Sungai Buloh sekitar pukul 5.30 petang dan selesai memberi keterangan pada pukul 6.15 petang.
Turut hadir bagi memberi sokongan terhadap remaja itu adalah Ahli Parlimen Sungai Buloh, R. Sivarasa; Ahli Parlimen Petaling Jaya, Maria Chin Abdullah serta Ahli Parlimen Seputeh, Teresa Kok.
Dalam pada itu, Ain Husniza berkata, ketika memberi keterangan, dia bersama bapanya memberi kerjasama penuh terhadap polis.
“Saya tidak ada banyak perkara untuk diberitahu namun pihak polis sangat profesional dan kami berikan kerjasama sepenuhnya kepada mereka.
“Saya memang rasa takut (ketika dipanggil beri keterangan) kerana saya hanya lah remaja berusia 17 tahun, tetapi apa yang saya mahukan hanya keadaan sekolah yang selamat.
“Terima kasih juga kepada mereka di luar sana yang sentiasa berikan kata-kata sokongan serta menyokong usaha #MakeSchoolASaferPlace,” ujarnya.
Sementara itu, Sankara berkata, beliau akan berbincang bersama anak guamnya bagi membuat tuntutan balas berhubung perkara tersebut.
“Saya akan failkan surat tuntutan secara rasmi berhubung saman sebanyak RM5 juta itu pada Isnin ini,” katanya.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Sungai Buloh, Superintendan Shafa’aton Abu Bakar berkata, pihaknya menerima laporan daripada seorang lelaki berkait kenyataan berbaur fitnah dan mengaibkan dirinya sebagai seorang guru pada 5 Mei lalu.
Jelas Shafa’aton, berdasarkan laporan yang dibuat oleh lelaki terbabit, kenyataan itu dikeluarkan oleh seorang pelajar perempuan di sekolah tempat pengadu bertugas ketika sesi wawancara di media sosial membabitkan sebuah akhbar tempatan pada 30 April mengenai elemen rogol ketika proses pembelajaran di dalam kelas.
“Susulan itu, Bahagian Siasatan Jenayah IPD Sungai Buloh memanggil pelajar itu bersama bapanya bagi tujuan rakaman percakapan untuk membantu proses siasatan berkaitan laporan polis dibuat oleh pengadu,” katanya menerusi satu kenyataan.
Menurut Shafa’aton, kes disiasat mengikut Seksyen 504 Kanun Keseksaan.
Pada Rabu, Ain Husniza melalui hantaran di Twitternya memberitahu, dia menerima surat tuntutan mahkamah dari guru di sekolah lamanya dan diberikan tempoh tujuh hari untuk semua tuntutan pernyataan-pernyataan fitnah selain turut dituntut untuk membayar ganti rugi sehingga RM1 juta.
Manakala bapa kepada pelajar berkenaan, Saiful Nizam mengesahkan menerima surat tuntutan daripada Tetuan Rasshidi Ema dan Yung namun menegaskan tidak akan memberi sebarang komen berkenaan surat tersebut.
Media sebelum ini melaporkan, Ain yang belajar di sebuah sekolah di Selangor menjadi tumpuan di media sosial selepas memuat naik video di aplikasi TikTok yang memetik guru sekolahnya berkata jika kamu (pelajar) mahu merogol, jangan rogol seseorang bawah 18 tahun. Rogol orang melebihi 18 tahun.’ – MalaysiaGazette