Home Nasional Warga emas maut terkandas dalam lif pangsapuri

Warga emas maut terkandas dalam lif pangsapuri

logo bomba
Foto hiasan

KAJANG – Seorang warga emas meninggal dunia dipercayai kerana terkandas dalam lif sebuah pangsapuri di Jalan Sungai Long, di sini, hari ini.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JPBM) Selangor, Norazam Khamis berkata, pihaknya telah menerima maklumat mengenai insiden itu daripada awam pada jam 11.13 pagi tadi.

Katanya, sejurus selepas menerima laporan itu, sebuah jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kajang bersama anggota penyelamat digerakkan ke lokasi kejadian bagi tujuan menyelamat.

“Selepas tiba di lokasi kejadian pangsapuri itu pada jam 11.21 pagi tadi, pasukan kami mendapati mangsa berusia 63 tahun sudah dikeluarkan pekerja penyelenggara pangsapuri tersebut.

“”Lif berkenaan sudah berjaya dibuka pekerja penyelenggaraan bangunan terbabit ketika anggota bomba tiba,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Tambah beliau, pemeriksaan lanjut ke atas mangsa mendapati dia tidak sedarkan diri.

Mangsa kemudian telah disahkan meninggal dunia oleh pasukan perubatan yang turut bergegas ke lokasi tersebut.

“Mayat mangsa diserahkan kepada polis untuk siasatan lanjut.

“Kita telah memulakan siasatan lanjut bagi mengenal pasti punca kejadian,” katanya.-MalaysiaGazette