PETALING JAYA – Polis meminta masyarakat di daerah ini berwaspada dengan penularan satu mesej penipuan menggunakan nama pertubuhan bukan kerajaan dan akaun bank yang memohon sumbangan bagi penyediaan makanan harian di kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD), Flat Gugusan Semarak, Seksyen 4, Kota Damansara.
Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Fakhrudin Abdul Hamid berkata, pihaknya menerima satu laporan polis mengenai satu posting melalui aplikasi “whatsapp” yang tular berkaitan kutipan sumbangan bagi penyediaan makanan harian kawasan PKPD Flat Gugusan Semarak semalam.
Posting tersebut menyatakan polis Kota Damansara telah meminta menyediakan makanan harian selama 10 hari di kawasan PKPD tersebut yang dilaksanakan sekatan pergerakanĀ sejak 12 tengah malam 6 Ogos lalu.
Mesej yang tular tersebut juga menyatakan sumbangan boleh disalurkan ke dalam satu akaun Maybank (5648 0165 7304) di atas penama Bekind Malaysia.
Mohamad Fakhrudin yang menafikan mesej ituĀ kerana tiada sebarang bantuan diperlukan daripada mana-mana pihak untuk PKPD yang dijalankan di daerah IPD Petaling Jaya.
“Pihak polis mengesyaki terdapat individu ataupun persatuan yang mengambil kesempatan dengan cuba membuat kutipan sumbangan untuk kepentingan peribadi,” katanya dalam kenyataan di sini.
Tambah beliau, mana-mana individu yang telah melakukan bayaran ke dalam akaun bank yang dinyatakan mohon tampil membuat laporan polis bagi membantu polis melakukan siasatan segera.
Pada masa yang sama beliau menyeru orang ramai agar jangan mudah terpedaya dengan sebarang posting atau mesej yang tular dalam media sosial melibatkan nama PDRM.
“Masyarakat juga dinasihatkan untuk membuat semakan dengan pihak polis terlebih dahulu sebagai pencegahan awal sebelum terjerat dengan mana-mana pihak tidak dikenali dan menjadi mangsa kes penipuan di dalam talian,” tegasnya.