Home Pendapat Suhu keterlaluan, hutan Turki terbakar

Suhu keterlaluan, hutan Turki terbakar

Kebakaran marak di kawasan semak di Bodrum, Turki. foto Reuters

PASUKAN bomba sedari awal lagi telah berusaha memadamkan kebakaran hutan selama
berhari-hari di selatan negara Turki.

Sebagaimana dilaporkan pada 2 Ogos lalu, kebakaran itu berlarutan hingga menyebabkan
lapan orang terbunuh dan memusnahkan beberapa pusat peranginan pantai hingga
memaksa pelancong lari menyelamatkan diri.

Beberapa hutan dilanda kebakaran selama berhari-hari, menjadikan Turki mengalami krisis kebakaran yang teruk sejak sedekad yang lalu, hingga menjejaskan sepanjang Pantai Mediterranean dan Aegean Turki, sebuah kawasan pelancongan utama negara itu.

Kerajaan Turki mengatakan bahawa lebih daripada 130 kebakaran terjadi dan usaha
memadam kebakaran masih dilakukan sehingga telah masuk hari yang ketujuh pada Rabu.

Menyentuh video pada hujung minggu lalu, ia menunjukkan pelancong dipindahkan dari
pusat peranginan pantai dengan kapal Pengawal Pantai Turki yang terlibat dalam operasi
menyelamat.

Melalui gambar satelit pula, jelas menunjukkan hutan yang luas di negara itu terbakar
dengan keluasan hampir 100,000 hektar bersamaan 250,000 ekar.

Media Turki turut melaporkan pada Isnin bahawa beberapa pasukan bomba ditugaskan
untuk meneruskan operasi memadamkan kebakaran dengan helikopter di bandar Barat
Daya Marmaris dan Koygiz.

Penduduk yang berdekatan tempat kejadian juga telah diarahkan agar mengosongkan
kediaman masing-masing bagi mengelakkan perkara yang tidak diingini berlaku.

Selain itu, bot penyelamat juga sentiasa bersiaga di sepanjang pantai Marmaris untuk
memindahkan sesiapa sahaja sekiranya kebakaran terus merebak.

Pada Ahad, Kesatuan Eropah mengumumkan akan menghantar kapal terbang yang
membawa air untuk membantu memadamkan kebakaran hutan di Turki itu.

Menteri Luar Turki, Mevlut Cavusoglu mengucapkan terima kasih kepada Kesatuan Eropah
kerana memberikan bantuan dari Croatia dan Sepanyol.

Dalam isu tersebut, Presiden Recep Tayyip Erdogan telah dikritik kerana kekurangan
helikopter pemadam kebakaran di negara itu.

Angin kencang dan suhu yang tinggi di Eropah selatan menyebabkan kebakaran yang
dahsyat terus merebak.

Pakar alam sekitar mengatakan bahawa perubahan iklim meningkatkan frekuensi
kepanasan hingga menyebabkan kebakaran tersebut berlaku.

Tragedi yang sama di beberapa negara lain

Pasukan bomba berusaha memadam kebakaran yang cepat menular di beberapa bahagian Greece, Sepanyol dan Itali.

Perkhidmatan bomba kebangsaan Itali mengatakan bahawa ia harus menangani lebih
daripada 1,500 kebakaran di seluruh negara pada Ahad dan terus meningkat dari hari ke
hari.

Sebahagian tempat di bandar Pescara Timur, sekurang-kurangnya lima orang cedera akibat kebakaran menyebabkan pemindahan ratusan pelancong di pusat peranginan dan rumah rehat di tepi pantai.

Di Greece, lima kampung di wilayah Peloponnese, penduduk segera mengosongkan rumah mereka, di mana suhu dijangka mencapai 45 darjah Celsius minggu ini.

Dalam pada itu, Perdana Menteri, Kyriakos Mitsotakis telah memberi amaran bahawa
Greece sedang menghadapi gelombang panas terburuk sejak tahun 1987, yang telah
membunuh lebih 1,000 orang kerana kekurangan penyaman udara dan pencemaran udara
yang teruk.

Atriza Umar
Pegawai Penerangan dan Perhubungan
Pertubuhan IKRAM Malaysia