BANGKOK – Polis Thailand mengesahkan penahanan seorang lelaki yang dipercayai ada kaitan dengan kematian seorang pelancong Switzerland di Pulau Phuket awal minggu ini.
“Di Phuket, kita ada berita baik. Ia selesai,” kata Ketua Polis, Suwat Jangyodsuk kepada wartawan yang merujuk kes pembunuhan tersebut.
Mayat seorang pelancong Switzerland berusia 57 tahun ditemui pada hari Khamis lalu berhampiran sebuah air terjun di pulau peranginan itu.
Wanita itu tiba di pulau ini pada 13 Julai di bawah skim “Phuket Sandbox”, sebuah projek perintis yang membenarkan kemasukan pelancong asing yang telah diberi vaksin.
Skim itu bertujuan menghidupkan kembali sektor yang terjejas akibat wabak Covid-19.
Dua sumber polis memberitahu, suspek berusia 27 tahun dan berasal dari Phuket.
Satu sidang media mengenai siasatan lanjut kes itu akan diadakan esok. – Reuters