Home Sukan Air mata Azizulhasni, mohon maaf kepada rakyat Malaysia

Air mata Azizulhasni, mohon maaf kepada rakyat Malaysia

Azizulhasni tidak dapat menahan sebak selepas gagal menyumbang pingat emas untuk Malaysia.

KUALA LUMPUR – Kekecewaan jelas terpancar di riak wajah pelumba basikal sensasi negara, Datuk Azizulhasni Awang kerana beliau merupakan prospek terakhir kontinjen negara untuk memenangi pingat emas pada Sukan Olimpik Tokyo di Jepun hari ini.

Sambil memohon maaf kepada rakyat Malaysia, anak kelahiran Terengganu itu berkata, dia sudah melakukan yang terbaik untuk negara.

Malah sepanjang perlumbaan itu, The Rocket Pocket Man sentiasa membayangkan wajah isteri dan dua anak di Australia serta ibu bapanya dalam mencari kekuatan berlumba.

“Saya tinggalkan keluarga sejak Tingkatan 3, tinggalkan emak saya. Dapat tahu ayah dapat strok di kampung. Ia bukan sesuatu yang mudah buat saya.

“Anak-anak pun hubungi saya tanya bila nak balik… saya harap semua orang di Malaysia tidak kecewa dengan saya hari ini,” kata Azizulhasni ketika ditemu bualĀ Astro Arena di sini.

Pada masa sama, Azizulhasni juga terharu apabila baru saja mengetahui isterinya, Datin Athiah Illyana Abd Samat kini hamil anak ketiga sebaik dikalungkan pingat perak.

Azizulhasni tidak mustahil merangkut pingat emas jika bukan kerana strategi dan stamina luar biasa pelumba Britain, Jason Kenny yang tiba-tiba memecut awal sebelum pusingan terakhir.

Dia terpaksa berpuas hati dengan pingat perak dalam aksi final keirin berjaya memperbaiki kedudukan podium selepas meraih pingat gangsa acara sama pada edisi Rio Brazil 2016.

Pingat gangsa pula menjadi milik pelumba Belanda, Harrie Lavreysen yang dipintas saat-saat akhir oleh Azizulhasni. – MalaysiaGazette