TANJONG KARANG – Kadar pemberian vaksin Covid-19 di Parlimen Tanjong Karang kini mencecah 32,640 dos, sejak Pusat Pemberian Vaksin (PPV) di Institut Pengurusan Peladang (IPP), di sini, dibuka pada 28 Jun lalu.
Ahli Parlimen Tanjong Karang, Tan Sri Noh Omar berkata, angka itu dapat dicapai selepas PPV IPP mampu memberikan vaksinasi sehingga 1,700 dos setiap hari.
“Sejak PPV IPP dibuka, sebanyak 1,000 dos diberi dan hari ini Alhamdulillah kita boleh cecah 1,700 dos satu hari.
“Setakat semalam kita berjaya memberikan suntikan vaksin ini sehingga 32,640 bagi dos pertama dan kedua,” katanya kepada pemberita di PPV IPP, hari ini.
Noh juga tidak menafikan jumlah penerima vaksin tinggi disebabkan kesedaran yang tinggi dalam kalangan penduduk di Parlimen Tanjong Karang.
“Saya tengok kesedarannya cukup positif, ramai yang mohon dan sama ada melalui MySejahtera atau tidak, selama ini pun kita bantu terutamanya warga emas dan OKU.
“Walaupun tiada MySejahtera tapi rakyat di sini boleh walk in, ini kita buat lama dah.
“Sekarang kita boleh walk in, kita buka kepada semua sesiapa yang nak datang vaksin,” katanya.
Katanya lagi, pemberian vaksin secara walk in yang bermula minggu lepas menunjukkan sambutan menggalakkan melibatkan 1,687 individu.
“Pada 6 Ogos 2021, dos kedua sebanyak 1,751 dos, dos pertama pula hanya ada enam orang sahaja yang walk in. Sekarang ini ramai yang dah masuk dos kedua.
“Untuk dos kedua yang datang 1,681 dos, bermakna ada 67 orang tidak hadir untuk dos kedua,” katanya. – MalaysiaGazette