Home Ekonomi Aliran keluar pelabur asing RM451.09 juta minggu lalu

Aliran keluar pelabur asing RM451.09 juta minggu lalu

Bursa Malaysia dibuka rendah pagi ini berikutan pasaran menerima berita mengenai prospek penurunan Petronas, selain aktiviti pengambilan untung menjelang hujung minggu.
Gambar hiasan

 

KUALA LUMPUR – Pelabur asing kekal sebagai penjual bersih untuk minggu yang berakhir pada 6 Ogos, menyaksikan aliran keluar berjumlah RM451.09 juta.

Ini merupakan minggu penjualan ketujuh berturut-turut oleh pelabur asing, menurut MIDF Research.

Ketika pasaran dibuka semula pada hari Isnin lalu, pelabur asing adalah penjual bersih berjumlah RM82.90 juta.

Sementara itu, institusi tempatan dan pelabur runcit masing-masing membeli RM46.60 juta dan RM36.30 juta ekuiti tempatan.

Pelabur asing adalah penjual bersih setiap hari dalam seminggu.

Firma penyelidikan itu berkata, aliran keluar asing terbesar dicatatkan pada hari Jumaat dengan aliran keluar terkecil pada hari Khamis masing-masing sebanyak RM133.77 dan RM36.80 juta.

Bagi pelabur uncit, mereka adalah pembeli bersih setiap hari minggu lalu.

Pembelian bersih terbesar oleh peruncit pada hari Rabu iaitu sebanyak RM112.28 juta dan belian bersih terkecil adalah pada hari Isnin berjumlah RM36.30 juta.

Secara kumulatif, untuk minggu ini, peruncit membeli ekuiti bernilai RM329.30 juta di Bursa Malaysia.

Sementara itu, institusi tempatan mencatat pembelian bersih mingguan kumulatif berjumlah RM121.70 juta.

MIDF Research berkata, institusi tempatan adalah pembeli bersih pada hari Isnin, Rabu dan Jumaat dengan pembelian bersih terbesar pada hari Jumaat hingga RM279.86 juta.

Sejak awal 2021, secara kumulatif, pelabur runcit menjadi satu-satunya pembeli bersih pasaran ekuiti iaitu sebanyak RM9.30 bilion.

Institusi tempatan dan pelabur asing pula penjual bersih masing-masing sebanyak RM3.31 bilion dan RM1.45 bilion.

Dari segi penyertaan, pelabur runcit, institusi tempatan dan pelabur asing mencatat penurunan pergerakan mingguan masing-masing sebanyak 8,66%, 2,32% dan 1.75% dalam nilai perdagangan harian (ADTV). – MalaysiaGazette