KUALA LUMPUR – Permohonan skuad Harimau Malaya untuk mengadakan perlawanan persahabatan pada hujung bulan ini masih belum mendapat kelulusan daripada pihak berkuasa.
Setiausaha Agung Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) Stuart Ramalingam berkata, pihaknya masih belum mendapat sebarang kebenaran atau kelonggaran yang diperlukan untuk mengendalikan perlawanan antarabangsa bagi jendela perlawanan antarabangsa FIFA bermula 30 Ogos hingga 7 September ini.
Beliau berkata, negara lain yang terlibat tidak dapat menunggu lagi untuk mendapatkan kebenaran dan terpaksa membuat perancangan lain.
Stuart berkata susulan itu, FAM membuat keputusan untuk memulangkan semula tarikh perlawanan tersebut kepada badan pengendali Liga Malaysia (Liga-M), Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) untuk menganjurkan perlawanan Liga-M 2021 pada tempoh tersebut.
Bagaimanapun, jelasnya, fokus FAM kini adalah melakukan perancangan dan persediaan awal untuk mendapatkan pasukan lawan yang baharu bagi jendela perlawanan antarabangsa FIFA berikutnya iaitu dari 4 hingga 12 Oktober 2021.
“Ia merupakan langkah sebagai persiapan skuad Harimau Malaya menjelang Piala Suzuki AFF 2020 pada Disember ini dan juga Pusingan 3, Kelayakan Piala Asia 2023 bermula Februari tahun depan.
“FAM juga berharap agar permohonan kali ini mendapat perhatian dan kelulusan awal daripada pihak berkuasa,” katanya. -MalaysiaGazette