MALAYSIA dan dunia kini masih berada dalam era pandemik Covid-19 sejak
Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) mengisytiharkan pandemik ini bermula pada 11 Mac 2020. Pandemik COVID-19 telah menyaksikan satu pukulan hebat terhadap sektor kesihatan setiap negara dunia, tidak terkecuali negara-negara maju seperti Amerika Syarikat dan Britain.
Pandemik ini juga telah memberikan kesan yang dahsyat terhadap sektor ekonomi dan
sektor pendidikan. Ramai insan di serata dunia dan di Malaysia terpaksa berkurung dalam
rumah dalam tempoh lama dan ada pula yang diberhentikan kerja kerana kekangan terhadap produktiviti yang tidak dapat dijalankan apabila pekerja tidak dapat ke tempat kerja.
Sektor pendidikan pula menyaksikan bilangan murid yang tercicir daripada pendidikan asas meningkat kerana ketidakmampuan keluarga mereka untuk memiliki peranti yang diperlukan untuk pembelajaran dalam talian selain harga data internet yang relatifnya masih mahal.
Namun, apa yang lebih menghambat negara dunia, khasnya Malaysia ialah kemelut
politik yang menggoncang urus tadbir pandemik Covid-19. Krisis politik yang sedang
terjadi ini seakan satu bentuk “pandemik” kerana umum mengetahui betapa sektor politik
negara amat berpengaruh terhadap sektor ekonomi dan pendidikan.
Para ahli politik amnya berpeluang menjawat kedudukan seperti Menteri dan
Timbalan Menteri. Di Malaysia, seseorang Menteri boleh ditanggap memiliki kuasa besar
dalam menentukan polisi yang hendak dibawa.
Kuasa seseorang menteri ini menjadikan jawatan tersebut strategik dalam membawa negara kepada kemajuan yang diimpikan, seperti pendidikan bertaraf dunia dan ekonomi berpendapatan tinggi.
Namun, agak tidak bernasib baik buat rakyat Malaysia kerana pada ketika pandemik
Covid-19 masih terus mengganas, “pandemik” politik pula yang muncul. Ini boleh
disifatkan sebagai pandemik berkembar yang bakal memberikan kesan yang tidak baik
kepada kelangsungan negara Malaysia.
Jika pandemik Covid-19 boleh ditangani dengan vaksin, maka, mengambil konsep
serupa, pandemik politik ini juga memerlukan “vaksin”. Namun, ini bukanlah vaksin yang
dicucuk di tangan, sebaliknya “vaksin” yang disuntik ke hati sanubari para ahli politik.
Vaksin pandemik politik yang perlu disuntik itu berupa satu suntikan yang boleh
menjadikan para pemain politik ini lebih berdaya tahan terhadap keinginan kepada kuasa.
Kegilaan mendapatkan kuasa seringkali menjadi manusia terlupa hakikat bahawa kuasa yang manusia miliki ini terlalu sedikit berbanding kuasa Yang Maha Berkuasa.
Setiap pemain politik ini perlu diperingatkan perihal Allah dan Rasul, apatah lagi jika
dia seorang Muslim yang mengimani Rukan Iman. Amatlah penting “vaksin spiritual”
disuntik ke dalam jiwa dan raga para pemain politik agar mereka beringat kepada Tuhan dan utusan Tuhan.
Jika para pemain politik ini menyedari mereka adalah khalifah yang bertanggungjawab memakmurkan bumi Allah ini, sudah tentulah pada diri mereka wujud satu perasaan untuk tidak berbuat kemudaratan kepada negara. Mana mungkin mereka yang mengimani firman Allah dan sabda Rasul perihal kuasa dan kedudukan tergamak hendak meletakkan negara dalam ketakstabilan?
Apakah tidak cukup pandemik Covid-19 ini menjadi satu ujian besar buat rakyat Malaysia dan dunia amnya, dan harus pula ditambah dengan pandemik politik ini? Seharusnya pada waktu kritikal sebegini, semua pihak dalam kerajaan dan pembangkang menggerakkan kerjasama yang membina.
Mengetepikan perbezaan yang wujud buat sementara waktu ini penting bagi membolehkan segala ketumbukan dalam negara dapat digembleng dalam memerangi wabak Covid-19.
Dalam menjayakan kerjasama membina ini, bolehlah dilihat semula sejarah perdamaian Saidina Hassan dan Muawiyah Abu Sufyan. Tatkala terbunuhnya Saidina Ali r.a., ummah telah mengangkat Saidina Hassan sebagai khalifah. Namun, Saidina Hassan telah menganalisis suasana dan mempunyai hemat bahawa beliau perlu mewujudkan perdamaian dengan lawan utama iaitu Muawiyah.
Maka, dua tokoh berpengaruh itu membuat perjanjian damai yang berlangsung
hampir 20 tahun. Ketika tempoh ini, Muawiyah menjadi khalifah ummah. Keadaan ummah
dan negara Islam stabil dalam tempoh ini. Saat-saat bermakna dalam perdamaian agung ini dinamakan “Tahun Jamaah”.
Apakah mustahil jika “Tahun Jamaah” ini dijelmakan dalam konteks moden, dalam
negara tercinta, Malaysia ini? Ini bukanlah sesuatu yang mustahil jika semua pihak terlibat berlapang dada dan kembali ke meja rundingan. Siapa yang harus mengetuai pentadbiran negara juga disepakati dan apabila sampai waktu untuk diadakan Pilihan Raya Umum ke-15, terpulanglah bagaimana setiap pihak mahu bertindak.
Tidaklah terlalu sukar untuk membawa semangat “Tahun Jamaah” dalam sejarah
Islam ini ke dalam negara Malaysia. Syarat utamanya ialah setiap pemimpin utama kumpulan politik berkaitan mampu berunding demi kemaslahatan Malaysia dan rakyatnya.
Inilah masa untuk anda membuktikan bahawa anda benar-benar sayang dan prihatin
kepada rakyat dan negara. Ini adalah masa untuk anda membuktikan pelaksanaan apa jua cogan kata dan pelaung semangat yang selalu anda gunakan.
Jika ini dapat dilaksanakan, tidaklah mustahil pandemik berkembar, COVID-19 dan
politik, ditangani dengan bijaksana. Vaksin COVID-19 telah ada. Kini, kita perlukan “vaksin” pandemik politik pula.
Sempena Kemerdekaan Malaysia ke-64, inilah waktu terbaik untuk “vaksin” ini dicipta,
dengan jalan perundingan tentunya dan pengembalian kepada hakikat kekuasaan. Marilah
bersama-sama kita memerdekakan negara ini daripada pandemik berkembar.
Dr Muhammad Abd Hadi Bunyamin
Pensyarah Kanan,
Universiti Teknologi Malaysia (UTM)