Home Politik Pemimpin UMNO, hentikan ugut sesama sendiri – Mat Nadzari

Pemimpin UMNO, hentikan ugut sesama sendiri – Mat Nadzari

Datuk Mat Nadzari Ahmad Dahlan

KUALA LUMPUR – UMNO tidak boleh lagi mengecilkan kelompoknya kerana jika berlarutan ia pasti ia akan kehilangan sokongan ahli-ahlinya.

Ketua UMNO Bahagian Hulu Selangor, Datuk Mat Nadzari Ahmad Dahlan berkata, sekali pun pucuk pimpinan tidak sehaluan dengan keputusan dan pendirian rakan-rakan dalam kerajaan, imej UMNO tidak harus dipalitkan dengan gambaran ‘pertelagahan elit politik’ sehingga rakyat menjadi bosan.

“Watak ugut-mengugut dan tekan-menekan sesama sendiri adalah tidak elok dan mengiyakan lagi persepsi umum bahawa UMNO bersifat ‘abang besar’.

“Mengambil kira kemelut dalaman UMNO hari ini, saya mengajak kawan-kawan semua agar bertenang dan bertindak secara bijaksana, bertindak selari dengan arahan UMNO kepada cawangan-cawangannya dalam fasal 18.12.2,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beberapa naratif perlu dilaksanakan lebih-lebih lagi dalam hal menentukan keabsahan tampuk kuasa kerajaan Perikatan Nasional (PN), kata Mat Nadzari.

“Pertamanya, UMNO tidak harus ditafsir melanggar sumpah setianya mengikut fasal 3.3 perlembagaan parti “…mendukung dan mempertahankan Raja Berperlembagaan” dan kebesaran Raja-raja yang dikibarkan bersama warna kuning di dalam bendera parti UMNO itu sendiri.

“Kedua, UMNO tidak harus nampak bercanggah dengan fasal 3.2 perlembagaannya untuk mengamalkan Sistem Demokrasi Berparlimen.

“Oleh itu, adalah wajar UMNO bersabar dengan perkenan Yang di-Pertuan Agong agar keabsahan Perdana Menteri ditentukan oleh Dewan Rakyat pada September ini,” jelasnya.

Menurut Pengerusi BN Hulu Selangor itu lagi, UMNO juga tidak boleh dilihat meletakkan kepentingan parti melebihi kepentingan rakyat.

“Menteri-menteri UMNO yang terlibat harus diberi masa menyudahkan tanggungjawab untuk rakyat dan negara yang terjejas dengan petaka Covid-19 mengikut lunas-lunas fasal 3.4 dan 6.16 perlembagaan UMNO bahawa rakyat didahulukan.

“Adalah tidak tertib dan gopoh jika menteri-menteri UMNO dalam kabinet kerajaan hari ini meletakkan jawatannya secara ‘abrupt’ dan meninggalkan tugas-tugas penting melawan Covid-19 di atas meja mereka tanpa rasa kebertanggungjawaban.

“Serharusnya, sediakanlah pelan pemulihan hala tuju UMNO yang bijaksana dengan kerangka dan peranan yang lebih jelas yang mudah difahami, dicontohi dan diikuti serta dilaksanakan mengikut hak-hak ahli dalam perlembagaan UMNO,” katanya lagi.

Tambahnya, imej dan kredibiliti UMNO akan lebih hebat di mata rakyat sekiranya mampu menyelesaikan kemelut dalaman ini dengan baik.

“Ibarat pepatah, seperti menarik rambut di dalam tepung; rambut jangan putus, tepung jangan berserak atau seperti memalu ular dalam benih, ular biar mati, benih jangan rosak,” katanya.

Kemelut politik UMNO berterusan sejak Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi menyatakan pendirian parti untuk menarik sokongan terhadap Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan juga PN.

Susulan itu beberapa pemimpin UMNO meletakkan jawatan dalam Kabinet antaranya Datuk Ser Dr Shamsul Anuar Nasarah, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad selain beberapa lagi yang melepas jawatan di dalam GLC.

Namun, ada sebahagina kepimpinan tertinggi parti dilihat tidak menuruti parti dan masih mendukung Muyhiddin dan PN serta bersetuju keabsahan hanya ditentukan pada September depan.- MalaysiaGazette

1 Komen

  1. DULU KINI DAN SELAMANYA…..BERNAFSU BESAR…TIDAK AMBIL IKTIBAR KECUNDANG PRU 14
    RAMAI PEMIMPIN UTAMA DAN BAWAHAN TERLIBAT KES MAHKAMAH

    RASUAH/KRONISME/NEPOTISME PECAH AMANAH…..YANG PENTING MASYUK…RAKYAT HANYA DIGULAPAKAIKAN DISEBALIK YANG TERSURAT DAN TERSIRAT.

    AKHIRNYA BERPECAH BERMULA UMNO BARU / S46/PKR DAN BERSATU

    PUTUS SILATURAHIM DEMI DENDAM KESUMAT PADA BANGSA MELAYU ISLAM SENDIRI ADALAH AGENDA UTAMA SEKARANG

Comments are closed.