Home Nasional PRK DUN Melor tidak akan diadakan – SPR

PRK DUN Melor tidak akan diadakan – SPR

Gambar Hiasan

KUALA LUMPUR – Pilihan Raya Kecil (PRK) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Melor, Kelantan tidak akan diadakan, kata Setiausaha Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Ikmalrudin Ishak.

Menurutnya, berdasarkan Proklamasi Darurat 2021 yang berkuat kuasa pada 11 Januari hingga 1 Ogos dan Seksyen 13 Ordinan Darurat (Kuasa-Kuasa Perlu) 2021, peruntukan Perlembagaan, mana-mana negeri berhubung pilihan raya bagi pemilihan DUN tidak mempunyai kesan sepanjang tempoh darurat.

“Di bawah Perkara 46(5) Undang-Undang Perlembagaan Tubuh Kerajaan Kelantan, kekosongan sesuatu kerusi Dewan Negeri Kelantan perlu diisi dalam tempoh 60 hari dari tarikh kekosongan kerusi tersebut.

“Seandainya kekosongan luar jangka itu dipastikan pada suatu tarikh dalam masa dua tahun dari tarikh Dewan Negeri akan terbubar, mengikut Fasal 3, maka tiada keperluan mengisi kekosongan itu melainkan Speaker secara bertulis memberitahu SPR sebaliknya,” katanya menerusi kenyataan, hari ini.

Sebelum ini, SPR menerima pemakluman daripada Speaker DUN Kelantan, Abdullah Ya’kub melalui surat bertarikh 8 Ogos berhubung status kekosongan luar jangka kerusi berkenaan ekoran penyandangnya, Md Yusnan Yusof meninggal dunia pada 30 April.

Sehubungan itu, katanya, Speaker Dewan Negeri Kelantan telah memaklumkan kepada SPR bahawa tiada keperluan bagi mengisi kekosongan luar jangka tersebut.

“Selaras dengan itu, tiada PRK akan dijalankan untuk mengisi kekosongan luar jangka bagi kerusi N23 Melor,” ujarnya.

Pada 4 Mei, PRK DUN Melor yang sepatutnya diadakan susulan kematian penyandang kerusi itu, dilapor ditangguhkan.

Md Yusnan, 53, meninggal dunia di rumahnya di Melor, Kelantan pada pukul 2.28 pagi akibat serangan jantung.

Beliau memenangi kerusi DUN Melor bagi dua penggal berturut-turut iaitu pada pilihan raya umum ke-13 dan ke-14. – MalaysiaGazette