KUALA LUMPUR – Selaras dengan pengumuman Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) untuk tidak melanjutkan tempoh moratorium pelanjutan pembaharuan lesen kenderaan motor (LKM) selepas 30 September 2021 ini, Puspakom menyarankan pemilik kenderaan perdagangan melakukan pemeriksaan dengan segera.
Ini bagi mengelakkan kesukaran mendapat slot temujanji jika majoriti menangguhkan pemeriksaan ke saat-saat akhir iaitu penghujung September.
Oleh itu, pemilik kenderaan perdagangan termasuk kenderaan e-hailing yang tamat tempoh Perakuan Pemeriksaan Puspakom pada 1 Jun hingga 30 September 2021 digalakkan melakukan pemeriksaan kenderaan mereka mulai sekarang.
Sebagai contoh, pelanggan yang Perakuan Pemeriksaan telah tamat tempoh disarankan membuat temujanji pemeriksaan seawal bulan ini dan mereka boleh hadir pemeriksaan tanpa perlu menunjukkan bukti pembayaran saman.
Puspakom juga akan memastikan slot temujanji pemeriksaan adalah cukup sepanjang tempoh pelaksanaan moratorium ini. Namun, pelanggan wajib membuat temujanji secara dalam talian melalui laman sesawang www.mypuspakom.com.my atau aplikasi
MyPUSPAKOM.
Pemeriksaan secara walk-in tidak dibenarkan sama sekali, katanya. – MalaysiaGazette