Home Pendapat Jangan lintasi garisan merah dalam politik

Jangan lintasi garisan merah dalam politik

Memorandum Rakyat Malaysia 7.0 Ke Bawah Duli YDPA dan Duli-Duli Raja Melayu di Istana Negara, Kuala Lumpur. Foto SYAFIQ AMBAK, 30 JULAI 2021.

TOLONG hentikan polemik politik tanah air; jika tidak golongan anak muda akan memberontak serta menolak kerajaan yang tidak stabil.  Gelombang ketiga “The Third Force” telah dilahirkan dengan sokongan anak- anak muda yang sudah lama jemu dengan gelagat politik tanah air.

Apa yang mereka mahukan adalah satu sistem politik yang telus serta stabil dalam membina sebuah negara yang kukuh dari segi sosial dan juga ekonomi.

Ini bukan masa untuk bertaruh rakyat Malaysia demi survival politik masing-masing. Semua pihak perlu bersama-sama memberi fokus sepenuhnya dalam mencari penyelesaian terhadap isu keselamatan kesihatan dan krisis ekonomi yang dihadapi negara ketika ini.

Rakyat akan melihat apa yang berlaku sepanjang 2018 sehingga hari ini, malahan saya melihat ramai sudah tidak terikat atau memberikan kesetiaan kepada parti atau personaliti politik tetapi lebih kepada isu sekeliling mereka. Secara jelasnya golongan belia sudah tidak ada kepercayaan terhadap sistem demokrasi serta sistem pentadbiran negara yang tidak mempunyai hala tuju jelas dalam membendung pandemik. Justeru, pemimpin politik perlu mengambil iktibar daripada apa yang berlaku sebelum membuat sebarang keputusan dengan tidak memberi keutamaan kepada parti mahupun personaliti politik.

Kemelut politik dan polemik politik yang bertali-arus menjejaskan Pelan Pemulihan Negara (PPN) yang sedang dilaksanakan dan memperlahankan usaha negara keluar daripada Covid-19. Masalah pergelutan politik memberikan imej buruk serta menjadikan proses pemulihan negara tergendala.

Secara amnya sekiranya jika pemimpin politik, tidak kira kerajaan ataupun pembangkang masih bergelut dengan soal politik maka sukar untuk mendapatkan kejayaan yang baik dalam pengurusan Covid-19.

Jika sentiasa ada satu kumpulan yang mahu menggulingkan mereka yang telah dilantik dan proses ini akan berterusan sehingga rakyat muak, bosan dan kecewa dengan pemimpin dipilih mereka. Krisis politik (pergelutan) telah mendominasi Negara sejak 2018 dan kita mahu memberikan noktah kepada perkara itu dengan pelantikan seorang Perdana Menteri yang mempunyai majoriti yang besar dan membentuk sebuah kerajaan yang ampuh supaya kita dapat bergerak ke hadapan dalam mendepani era pandemik.

Rakyat melihat ahli-ahli politik kini meletakkan diri mereka sebagai keutamaan dalam menyelamatkan jawatan-jawatan sehingga melupakan rakyat yang memilih mereka untuk berada di tempat yang mereka berada sekarang.

Pembubaran Parlimen VS Peningkatan Kes Harian Covid-19

Semasa seluruh negara bertungkus-lumus membendung krisis pandemik dan punca kehidupan semakin terjejas akibat pandemik Covid-19, amat mendukacitakan apabila pemimpin-pemimpin kita sibuk bertelagah sesama sendiri dan langsung tidak mempamerkan sikap kerjasama, toleransi dan saksama.

Perkembangan ini mencetus polemik dalam kalangan ahli politik baik di blok kerajaan mahupun pembangkang. Namun, sebahagian besar rakyat seperti tidak mengendahkannya, lebih-lebih lagi pada saat negara sedang berjuang bermati-matian mencegah penularan wabak yang semakin mengganas.

Ramai sebenarnya melihat langkah itu akan memberi impak negatif kepada usaha membangun semula ekonomi negara yang terkesan akibat pandemik Covid-19. Keputusan bakal dibuat terhadap usul tidak percaya terhadap YAB Perdana Menteri dijangka mengundang dua kemungkinan.

Secara amnya, rakyat melihat isu undi tidak percaya lebih berkisarkan politik longkang dan bukan menumpukan kepada agenda pembangunan ataupun kesejahteraan rakyat.

Menteri yang menerajui Kementerian Kesihatan dan Program Imunisasi Kebangsaan (PICK) keduanya daripada parti yang sama dan mereka telah mainkan peranan yang besar malah jika berlaku perubahan dari segi pertukaran kerajaan atau pentadbiran, maka kesan itu akan menjejaskan perancangan pemulihan negara. Di saat-saat genting barisan hadapan berperang dengan pesakit-pesakit Covid-19 yang kian bertambah, keutamaan sepatutnya difokuskan kepada rakyat yang berada dalam keadaan kritikal serta proses vaksinasi harus dipercepatkan.

Apa yang dapat disimpulkan adalah, rakyat khususnya anak muda sudah letih dan mengalah dengan pentadbiran negara yang gagal dalam menangani masalah pandemik yang menuju ke arah endemik. Jika tidak ada satu jalan keluar atau perancangan yang “feasible” kebolehberkesanan maka generasi akan menangung kerugian besar yang disebabkan oleh kegagalan kerajaan.

Sivanesan Tamil Selvam
Felo Penyelidik Majlis Belia Malaysia