Home Pendapat Pemerkasaan diri menerusi manhaj rabbani

Pemerkasaan diri menerusi manhaj rabbani

Ilmu berperanan dalam pembentukan daya saing untuk individu menjadi ummah berkualiti Gambar hiasan.

TANGGAL 10 Ogos 2021 merupakan hari bersejarah bagi seluruh umat islam sedunia bagi menyambut Maal Hijrah. Bersempena Maal Hijrah tahun 2021M/1443H dengan tema manhaj Rabbani, ummah berkualiti menjadi penyeri sambutan Maal Hijrah pada tahun ini. Bertepatan dengan tema ini, kerajaan Malaysia menganjurkan umat islam untuk memperkasakan iman dengan teguh dan sempurna dalam mendepani cabaran hebat pada masa kini.

Menurut Said Hawwa konsep manhaj rabbani menjadi batu asas kepada pembentukan modal insan ke arah melahirkan individu yang berkeupayaan tinggi menjana pendapatan negara, sekali gus cemerlang dalam menyempurnakan agamanya.

Jika ditelusuri dari perkataan hijrah dan perubahan adalah sinonim dan saling melengkapi yang membawa makna pembaharuan kepada sesuatu keadaan, kehidupan mahupun diri manusia. Sama ada kita sedar atau tidak, kehidupan menyarankan kepada perubahan dalam setiap fasa dan masa. Dalam konotasi lainnya, manusia perlu berhijrah dari sesuatu yang buruk kepada yang baik dan daripada yang baik kepada yang lebih baik.

Takrif hijrah dari segi bahasa adalah perpindahan dan meninggalkan sesuatu tempat serta dalam konteks sejarahnya merujuk kepada perpindahan Nabi Muhammad SAW dari Mekah ke Madinah. Meskipun begitu, perspektif lain mentakrifkan hijrah sebagai perbuatan yang dikaitkan dengan transformasi diri ke arah kebaikan meliputi sistem kepercayaan, pemikiran dan tindakan yang bersepadu atau JERI (Jasmani, Emosi, Rohani dan Intelek). Perubahan diri secara holistik ini juga melibatkan unsur keimanan yang akhirnya membawa kepada keadaan diri yang lebih baik atau kesejahteraan diri.

Tema manhaj rabbani, ummah berkualiti menganjurkan individu untuk menerapkan pembudayaan ilmu dalam kehidupan secara holistik. Ilmu merupakan asas kepada pengetahuan manusia yang berupaya mengembangkan intelektual dan potensi diri seseorang. Ilmu yang ada perlu ditambah dari masa ke semasa untuk memastikan pengetahuan menjadi luas dan seiring mengikuti perkembangan dunia.

Ilmu berperanan menggalakkan pembentukan daya saing yang sihat dan menjadi batu loncatan untuk individu menjadi ummah berkualiti yang menyumbang hasil yang positif dan bermanfaat kepada negara, agama dan keluarga. Hal ini bertepatan dengan dalil Al-Quran dari surah al-Mujadalah, ayat 11 yang bermaksud “Allah meninggikan orang-orang yang beriman di antara kamu dan orang-orang yang diberi ilmu pengetahuan beberapa darjat.”

Selain itu, pemerkasaan akhlak muslim juga menjadi intipati dalam menjayakan tema Maal Hijrah pada tahun ini. Akhlak yang baik menjadi cerminan diri individu kepada masyarakat umumnya. Pembentukan akhlak yang baik perlu disemai dari kecil hinggalah lanjut usia. Sinonim dengan Rasulullah SAW yang terkenal dengan akhlaknya yang terpuji dan mulia. Justeru, seharusnya Rasulullah SAW menjadi ikon untuk diteladani dalam mendidik diri berakhlak baik.

Hal ini ditekankan oleh Nabi Muhammad SAW dalam sabdanya; "Kebanyakan perkara yang memasukkan manusia ke dalam syurga ialah ketakwaan kepada Allah dan mempunyai akhlak yang baik." Hadis Riwayat al-Tirmidzi. Oleh itu, akhlak yang baik perlulah dipraktikkan dalam kehidupan seharian untuk menjadi modal insan yang berguna dan menyumbang ke arah memertabatkan islam sebagai agama yang terpuji.

Jika diperhalusi tema manhaj rabbani ini menitikberatkan penyatuan umat islam menerusi konsep Rabbani yang diketengahkan. Konsep rabbani menurut Said Hawwa perlu memantapkan diri dengan penggayaan ilmu, pengabdian diri kepada Allah dan bersifat zuhud. Kesemua elemen ini menerapkan individu untuk mencari jalan mendekatkan diri kepada Allah SWT.

Pengembelingan konsep rabbani dalam diri individu akan memudahkan umat islam bersatu padu apabila mempunyai visi dan pandangan yang sama untuk mengejar serta mencari keredhaan Allah. Hal ini boleh diterapkan dalam diri dengan melakukan zikir, memperbanyakkan ibadah, mentadabbur Al-Quran, mendalami ilmu agama dan memantapkan amalan sunat, sekaligus akan melahirkan ummah berkualiti sejajar dengan tema Maal Hijrah manhaj rabbani, ummah berkualiti.

Tuntasnya, umat islam seharusnya berganding bahu dalam memperkasakan agama islam dan memartabatkan umat islam dalam mengejar matlamat melahirkan individu yang berpotensi tinggi menyumbang kepada modal insan yang berkualiti kepada negara, agama dan keluarga. Walaupun pelbagai cabaran yang mendatang seperti pandemik Covid-19, umat islam perlu berpegang erat dan bersatu untuk mendepani setiap cabaran dan memperteguhkan diri masing-masing. Bak kata pepatah “serumpun bak serai, sesusun bak sirih” perlulah dijadikan pegangan untuk meneruskan kelangsungan hidup yang bermuafakat dan tidak berpecah belah.

OLEH: Dr. Abdul Rashid Abdul Aziz
ensyarah Kanan, Program Kaunseling,
Fakulti Kepimpinan dan Pengurusan,
Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)