KUALA LUMPUR – Satu kempen dalam talian yang mendesak Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) agar menangguhkan pembukaan secara bersemuka (PdP) dibuka kepada rakyat negara ini.
Petisyen mendesak KPM menangguhkan pembukaan sekolah itu dimulakan semalam oleh pengguna maya di laman www.change.org mensasarkan untuk meraih 100,000 tandatangan.
Setakat berita ini dikemaskini jam 12:30 tengahari tadi, petisyen itu telah mengumpul lebih 3,300 tandatangan warganet.
“Pembukaan sekolah pada 1 September sangat berbahaya ketika kes Covid-19 masih tinggi.
“Sila tangguhkan hingga Malaysia mencapai imuniti kelompok,” tulis petisyen itu.
Petisyen bertajuk ‘100,000 rakyat Malaysia mendesak KPM tangguhkan pembukaan sekolah pada 1 September 2021’ dimulakan warganet bernama Awang Sulong ditujukan kepada Menteri KPM, Datuk Dr Radzi Jidin dan bekas menterinya, Dr Maszlee Malik.
KPM pada 17 Julai lalu memaklumkan bahawa sesi persekolahan untuk Pengajaran dan Pembelajaran (PdP) bersemuka ditetapkan mulai 1 September ini secara berperingkat.
Maka sesi Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) aakn ditamatkan pada 31 Ogos ini.
Keputusan itu dibuat setelah mengambil kira situasi semasa pandemik Covid-19 serta perbincangan bersama Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Majlis Keselamatan Negara (MKN). – MalaysiaGazette