Home Utama Sultan Johor kecewa pemimpin berebut kuasa ketika rakyat derita Covid

Sultan Johor kecewa pemimpin berebut kuasa ketika rakyat derita Covid

Sultan Ibrahim Iskandar

JOHOR BAHRU – Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar menzahirkan rasa kecewa baginda kerana terdapat pemimpin yang cuba menggangu-gugat kerajaan termasuk berebut kuasa.

Dalam hantaran di akaun rasmi Facebook, baginda bertitah, apa yang mengecewakan adalah perbuatan itu dilakukan di saat rakyat  berhadapan dengan wabak Covid-19 yang semakin membimbangkan.

“Saya berasa kecewa apabila ada pemimpin yang menggangu kerajaan dan berebut kuasa di saat rakyat dalam keadaan susah dan gelisah berhadapan dengan wabak Covid-19 yang semakin membimbangkan.

“Sempena permulaan Tahun 1443 Hijrah hari ini, saya menyeru kepada semua pemimpin Islam, terutama pemimpin bangsa Melayu di negara ini, supaya menginsafi bahawa segala kuasa pemerintahan itu adalah hak Allah.

“Dialah yang memberi kuasa kepada orang yang dikehendaki, dan Dia juga yang mencabut kuasa pemerintahan daripada sesiapa yang Dia kehendaki,” zahir baginda.

Oleh itu jelas baginda lagi, semua pemimpin perlulah jujur dan amanah dalam memikul tanggungjawab yang diberikan, dengan mengutamakan kepentingan rakyat dan perpaduan ummah, bukannya kepentingan diri sendiri sehingga mengugat keharmonian masyarakat dan kestabilan politik tanahair.

Tegas Sultan Ibrahim lagi, sekarang adalah masa untuk berebut-rebut membantu rakyat dan bukan masa untuk berebut kuasa dan kedudukan. – MalaysiaGazette