KUALA LUMPUR – Premis-premis yang tidak bertanggungjawab dalam pematuhan prosedur operasi standard (SOP) perlu menanggung akibatnya jika diarah tutup serta-merta.
Menteri Kluster Keselamatan, Datuk Seri Hishammuddin Hussein berkata, beliau perlu bertegas dalam soal pematuhan SOP bagi premis-premis yang dibenarkan beroperasi sepanjang pelaksanaan Pelan Pemulihan Negara ini.
Katanya, dalam minggu ini sahaja lebih 810 premis diarah tutup kerana ingkar SOP.
”Apabila kemudahan beroperasi diberikan, sepatutnya tiada alasan untuk mana-mana premis ingkar SOP – besar risikonya terhadap keselamatan negara terutama dalam konteks penularan Covid-19,” katanya.
Arahan penutupan itu, menurutnya, melibatkan kilang, premis perniagaan, tapak pembinaan dan asrama pekerja.
Hishammuddin menegaskan, tindakan tegas itu bukan kemahuannya mahupun Polis Diraja Malaysia (PDRM).
”Tetapi jika premis sendiri tidak bertanggungjawab, maka mereka perlu tanggung akibatnya,” tegas beliau sambil mengucapkan terima kasih kepada Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainudin sebagai Pengerusi Jawatankuasa Koordinasi Penguatkuasaan dan Pematuhan SOP Covid-19 serta Task Force Operasi Pematuhan yang diketuai PDRM yang bertungkus-lumus menjalankan penguatkuasaan di seluruh negara. – MalaysiaGazette