BEIJING – Seorang warga Kanada gagal dalam rayuan terhadap hukuman mati oleh mahkamah atas kesalahan menyeludup dadah.
Mahkamah mengatakan ia menjatuhkan hukuman ke atas Robert Lloyd Schellenberg kerana bukti terhadapnya “mencukupi”.
Schellenberg pada mulanya dijatuhi hukuman penjara 15 tahun, tetapi pada tahun 2019 sebuah mahkamah rayuan mengatakan hukuman tersebut terlalu ringan, yang menyebabkan perbicaraan semula.
Lelaki ini kemudian dijatuhi hukuman mati.
Keputusan itu dibuat ketika hubungan antara Kanada dan China rapuh.
Duta Besar Kanada ke China, Dominic Barton mengutuk keputusan mahkamah China itu, dengan mengatakan ia “bukan kebetulan” sementara perbicaraan ekstradisi yang melibatkan eksekutif kanan Huawei, Meng Wanzhou masih berlangsung di Kanada.
Meng adalah anak perempuan pengasas syarikat telekomunikasi China yang kini ditahan di Kanada dengan waran Amerika Syarikat.
Kanada sebelumnya menuduh China melakukan “diplomasi tebusan”, walaupun Beijing menafikan kes-kes itu ada kaitan.
Schellenberg ditahan pada tahun 2014 dan didakwa merancang untuk menyeludup 227 kilogram metamfetamin dari China ke Australia.
Tertuduh menafikan tuduhan itu dengan menyatakan dia ke China sebagai pelancong. – BBC