KUALA LUMPUR – Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin dijangka mengadakan mesyuarat khas bersama pemimpin utama Perikatan Nasional (PN) dari Sabah dan Sarawak, kira-kira 5 petang ini di Putrajaya.
Perkara itu hangat diperkatakan selepas satu mesej tular di aplikasi WhatsApp sejak semalam mengatakan ketua-ketua parti dari kepulauan Borneo itu akan turun ke ibu negara bagi mengadakan pertemuan secara fizikal bersama Perdana Menteri.
Susulan perkembangan itu, petugas media kelihatan mula berkampung di kediaman Perdana Menteri di Bukit Damansara sejak jam 8 pagi tadi bagi mencari kepastian sejauh mana pertemuan itu benar-benar berlaku, hari ini.
Tinjauan MalaysiaGazette mendapati suasana di luar pekarangan kediaman Perdana Menteri masih lengang tanpa kehadiran mana-mana pihak, khususnya pemimpin Gabungan Parti Sarawak (GPS) dan Gabungan Rakyat Sabah (GRS).
MalaysiaGazette dimaklumkan Perdana Menteri meninggalkan kediaman kira-kira 7.45 pagi dan dipercayai menuju ke Putrajaya bagi mempengerusikan mesyuarat Kabinet setiap Rabu.
Sumber juga memberitahu perjumpaan dengan ketua-ketua parti dari Sabah dan Sarawak itu tidak berlaku di kediaman Muhyiddin, sebaliknya akan berlangsung di Pejabat Perdana Menteri di Putrajaya. – MalaysiaGazette