Home Nasional Peniaga di Kuantan risau pelanggan pamer sijil digital palsu

Peniaga di Kuantan risau pelanggan pamer sijil digital palsu

Peniaga kedai makan lebih yakin kaedah bungkus bawa pulang berikutan kadar penipuan sijil vaksin palsu semakin berleluasa

KUANTAN – Biar pun kerajaan telah memberi kelonggaran kepada orang ramai yang sudah menerima dos vaksin untuk makan di restoran, namun para pengusaha kedai makan masih dibelenggu rasa bimbang untuk menerima kehadiran pelanggan.

Tinjauan MalaysiaGazette di lokasi terpilih dari perkampungan Beserah hingga ke Tanjung Lumpur mendapati kedai-kedai makan masih lagi lengang.

Bukan sahaja pelanggan berasa bimbang, malah orang ramai juga seakan-akan tidak berani untuk duduk makan di restoran lantaran tidak tahu keadaan kesihatan para pengunjung yang turut berada di dalam premis.

Pengusaha kedai makan, Nadawati Arifin, 41, menyambut baik kelonggaran yang diberikan oleh kerajaan namun namun beliau risau ditipu oleh pelanggan yang mempamerkan sijil vaksin palsu.

“Memang bagus tetapi macam risau sebab kes masih tinggi, sebab itu saya tidak buka lagi, walaupun kerajaan bagi buka. Pekerja pun masih ada yang belum cukup dia suntikan dos.

Tinjauan kelonggaran SOP Kuantan
Nadawati Arifin

“Bila pelanggan masuk, kita nak semak sijil digital bukti sudah mendapat dua dos tetapi jika pelanggan menggunakan kaedah ‘screenshot’, pelanggan boleh saja menipu kami.

“Lebih merisaukan jika polis datang kami pula yang disaman kerana membenarkan pelanggan yang tidak mempunyai dua dos vaksin makan di sini sedangkan mereka yang menipu,” katanya ketika ditemui di sini.

Sementara itu, Pengerusi Pengguna Muda Negeri Pahang, Md Jamil Fauzi juga melahirkan kebimbangan ada kalangan masyarakat yang bertindak memalsukan sijil digital semata-mata untuk menikmati kelonggaran yang dibenarkan.

“Akibat mengejar bukti telah menerima dua dos vaksin kedua mungkin akan ada unsur penipuan dan penggunaan sijil digital secara palsu kerana boleh disunting.

MD Jamil Fauzi

“Jangan kita aniaya orang lain. Kalau kita belum lengkap dua dos vaksin, jangan pula sunting sijil untuk melengkapkan dos supaya menikmati kelonggaran yang diberikan oleh kerajaan, Jika dikenakan kurantin kendiri, jadi kurantin betul-betul.

“Vaksin di Pahang masih kurang maka masih ramai yang belum divaksin, jadi saya mohon pihak kerajaan mempercepatkan usaha menyelesaikan proses vaksinasi supaya ramai yang boleh lengkap dua dos,” ujar Jamil.

Dalam pada itu, Naib pegerusi 1 Majlis Tindakan Sosial Negeri Pahang, Mohd Farid Mohd Nor pula berkata, kerajaan perlu memastikan garis panduan yang lengkap bagi membolehkan penerima dos lengkap makan di luar.

Mohd Faris Mohd Nor

“Apakah bentuk makanisme yang dijalankan oleh kerajaan bagi memastikan peraturan yang membenarkan penerima dua dos vaksin makan di restoran tidak diseleweng.

“Dan bagaimana ia dikuatkuasakan, serta bagaimana pengusaha kedai membantu pihak berkuasa memastikan mereka yang layak sahaja dibenarkan makan di kedai?” Katanya. – MalaysiaGazette