Home Nasional Program Malaysia My Second Home diaktifkan semula Oktober ini

Program Malaysia My Second Home diaktifkan semula Oktober ini

Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri, Datuk Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz.

PUTRAJAYA – Kerajaan akan mengaktifkan semula program Malaysia My Second Home (MM2H) dengan permohonan baharu mula diproses dan dikendalikan oleh Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) mulai Oktober ini.

Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri (KDN), Datuk Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz berkata, program MM2H merupakan salah satu strategi untuk membantu pelaksanaan Pogram Pemulihan Negara (PPN) bagi menjana semula ekonomi negara.

Menurut beliau, kerajaan juga bersetuju memperkenal dan menetapkan siling bilangan peserta (prinsipal dan tanggungan) pada satu-satu masa iaitu tidak melebihi 1% daripada jumlah warganegara Malaysia.

“KDN memberi jaminan bahawa hanya peserta yang berkelayakan dan tidak mempunyai rekod kesalahan jenayah akan dibenarkan untuk menyertai program ini.

“Tatacara permohonan Program MM2H juga akan ditambahbaik dengan mewujudkan satu sistem secara atas talian bagi tujuan permohonan, pemprosesan dan pangkalan data profil peserta MM2H,” katanya dalam sidang media program MM2H di KDN hari ini.

Turut hadir, Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Khairul Dzaimee Daud.

Mengulas lanjut, Wan Ahmad Dahlan berkata, bagi mengimbangi aspek keselamatan dan ekonomi, syarat penyertaan program MM2H menerusi dasar baharu tersebut telah ditambah baik.

Kata beliau, sepuluh syarat baharu itu membabitkan keberadaan atau kemastautinan di Malaysia sekurang-kurangnya selama 90 hari (kumulatif) dalam setahun; pendapatan luar negara (offshore income) peserta MM2H sekurang-kurangnya RM40,000 sebulan, berbanding RM10,000 sebelum ini; dan pemilikan akaun simpanan tetap sekurang-kurangnya RM1 juta dan pengeluaran maksimum sebanyak 50% dibenarkan ke atas nilai prinsipal bagi tujuan pembelian hartanah, kesihatan dan pendidikan anak-anak.

Sementara itu umur pemohon yang layak untuk memohon program MM2H dipecahkan kepada dua kategori iaitu 35 tahun sehingga 49 tahun dan 50 tahun ke atas; tempoh pas lawatan sosial jangka panjang MM2H adalah 5 tahun dan boleh dilanjutkan selama 5 tahun dan seterusnya selagi peserta berminat tertakluk kepada memenuhi syarat permohonan.

Tambahnya lagi, syarat lain termasuk pengisytiharan aset cair sekurang-kurangnya RM1.5 juta; kadar fi pas dari RM90 dinaikkan kepada RM500 setahun dan fi proses dikenakan sebanyak RM5,000 bagi prinsipal serta RM2,500 bagi setiap tanggungan; pembaharuan pas, pertukaran prinsipal, pertukaran kewarganegaraan peserta dan tanggungan juga perlu menjalani dan lulus tapisan keselamatan; keperluan mengemukakan Sijil Berkelakuan Baik (Letter of Good Conduct) untuk semua peserta dan tanggungan dan kerjasama KDN dan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) serta ejen-ejen pelancongan.

Dalam pada itu, Wan Ahmad Dahlan berkata, sejak tahun 2002 hingga 2019, MM2H telah berjaya merangsang ekonomi negara dengan pendapatan berjumlah RM11.89 bilion (gross value added) secara kumulatif menerusi fi visa, pembelian hartanah, pembelian kenderaan persendirian, simpanan tetap dan perbelanjaan isi rumah bulanan.

“Pelaksanaan MM2H dan kemasukan peserta masih tertakluk kepada dasar dan prosedur operasi standard (SOP) kesihatan yang telah ditetapkan oleh Majlis Keselamatan Negara dan penilaian risiko oleh Kementerian Kesihatan Malaysia.

“Bagi memastikan kawalan terhadap peserta MM2H, KDN melalui agensi penguatkuasaan di bawahnya iaitu Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) dan Polis DiRaja Malaysia (PDRM) akan melaksanakan pemantauan dan penguatkuasaan secara berkala dan dari semasa ke semasa.

“Setakat ini, jumlah peserta MM2H yang telah diluluskan adalah sebanyak 57,478 orang termasuk tanggungan yang dibawa oleh pemegang Pas MM2H,” ujarnya.

Sementara itu ditanya jumlah permohonan program MM2H setakat ini, Wan Ahmad Dahlan berkata, JIM telah menerima lebih 1,000 permohonan yang masih belum diselesaikan (pending) dan segala proses tersebut akan bermula pada Oktober ini.

Jelas beliau, 10 buah negara yang paling banyak menghantar permohonan antaranya China, Jepun, United Kingdom, Bangladesh, Korea, Singapura, Amerika Syarikat, Australia, Taiwan serta Indonesia. – MalaysiaGazette