KUALA LUMPUR – Seorang wanita yang mendakwa menjadi mangsa rogol dua kenalan kepada seorang wakil rakyat di Selangor akan memfailkan saman sivil ke atas polis.
Saman itu atas dakwaan polis gagal memberi maklumat perkembangan siasatan kes tersebut, kata peguamnya, Asheeq Ali Sethi Alivi.
Menurutnya, anak guamnya didakwa gagal mendapat pengadilan sewajarnya dalam kes itu sejak kejadian pada 5 Disember tahun lalu.
Beliau berkata, anak guamnya bukan sahaja tidak mendapat keadilan dalam kes itu malah polis tidak memaklumkan perkembangan kes rogol yang berlaku pada 4 Disember tahun lalu.
“Disebabkan itu, saya hari ini tampil bersama anak guam menyerahkan surat tuntutan perkembangan terkini siasatan kes berkenaan kepada Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur dan dirujuk juga kepada Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Azmi Abu Kassim.
“Kami pernah menghantar surat tuntut perkembangan siasatan itu kepada Azmi menerusi emel rasmi PDRM pada 10 Jun lalu namun tiada maklumbalas yang diharapkan kami sehingga kini.
“Selepas menerima arahan anak guam, kami akan mengambil dua tindakan iaitu pertama akan memfailkan saman sivil di mahkamah untuk tujuan mendapatkan kesemua atau sebahagian maklumat perkembangan siasatan kes rogol itu sekiranya polis gagal memberi maklum balas dalam masa tujuh hari bermula hari ini,” katanya ketika ditemui di hadapan Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur petang tadi.
Tambah Asheeq Ali, tindakan kedua yang akan diambil pihaknya adalah memfailkan saman sivil melibatkan semua individu yang terlibat dalam insiden pada malam tersebut.
Surat tuntutan sivil pertama akan keluarkan minggu depan kepada semua yang terlibat dan selepas itu akan mengambil tindakan sivil di mahkamah.
“Kami akan proceed ambil tindakan sivil ini sebab tiada pengakhiran untuk siasatan jenayah sehingga hari ini yang tiada cahaya di hujung terowong dalam kes ini.
“Anak guam saya mempunyai hak yang sepenuhnya untuk mengetahui tentang perkembangan atau hasil siasatan yang dilakukan polis atas aduan dibuat beliau.
“Sembilan bulan tempoh terlampau lama ditunggu pengadu yang menjadi mangsa insiden itu tidak boleh lagi bertoleransi kelewatan ini.
“Kalau ambil dua kes lampau membabitkan pemimpin politik iaitu ADUN Tronoh laporan diterima 9 Julai 2019 dan dituduh bulan seterusnya dan kes kedua membabitkan wakil rakyat parti Amanah tindakan diambil dengan kadar segera tetapi kenapa kes ini hampir sembilan bulan tidak ada perkembangan?” soalnya.
Dalam pada itu, Ketua Polis Kuala Lumpur ketika dihubungi mengesahkan kertas siasatan kes berkenaan yang dilengkapkan itu sudah lama dirujuk kepada Pejabat Peguam Negara.
“Kini sekarang masih menunggu keputusan arahan lanjut (pejabat) Peguam Negara dalam kes ini,” kata Azmi yang enggan mengulas lanjut.- MalaysiaGazette