KUALA LUMPUR – Bintang Jepun di temasya Sukan Olimpik Tokyo 2020, Kaoru Mitoma akhirnya melengkapkan perpindahan dengan menyertai kelab Liga Perdana Inggeris (EPL), Brighton & Hove Albion.
Pemain berusia 24 tahun itu menandatangani kontrak selama empat tahun dengan yuran perpindahan yang tidak didedahkan dari kelab J. League, Kawasaki Frontale.
Selepas melengkapkan perpindahan, Mitoma bakal dipinjamkan ke kelab Belgium, Royale Union Saint-Gilloise yang turut dibeli oleh pemilik Brighton, Tony Bloom.
Selain Mitoma, beberapa pemain Kawasaki Frontale turut beraksi di Eropah musim ini seperti Ko Itakura yang menyertai Manchester City pada 2019, Hidemasa Morita yang beraksi bersama kelab Portugal, Santa Clara serta Ao Tanaka yang menyertai kelab divisyen dua Jerman, Dusseldorf secara pinjaman. – MalaysiaGazette