KUALA LUMPUR – Kemaskini terbaharu oleh Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) menunjukkan ranking skuad Harimau Malaya turun satu anak tangga untuk kedudukan ke-154 dunia.
Sebelum ini, skuad negara menghuni ranking ke-153 dunia pada kemas kini terdahulu yang dilakukan pada 27 Mei lalu.
Malaysia kini menghimpun 1, 041 mata meningkat satu angka berbanding 1,040 pada kemaskini terakhir.
Penurunan satu anak tangga itu dipercayai berpunca daripada tiga kekalahan yang dilakar anak buah Tan Cheng Hoe termasuk dua ketika baki pusingan kelayakan Piala Dunia 2022/ Piala Asia 2023 di Dubai, pada Jun lalu.
Mereka tewas 0-2 di tangan Bahrain pada aksi persahabatan sebelum tunduk 4-0 di tangan tuan rumah, Emiriah Arab Bersatu (UAE) pada aksi pertama baki kelayakan.
Skuad negara kemudiannya kalah 1-2 di tangan Vietnam yang menamatkan saingan selaku naib juara Kumpulan G.
Namun skuad negara berjaya menewaskan satu lagi jiran Asia Tenggara, Thailand dengan keputusan 1-0 pada aksi terakhir peringkat kumpulan. – MalaysiaGazette