Home Nasional Jangan terjebak beli sijil vaksin palsu – Polis

Jangan terjebak beli sijil vaksin palsu – Polis

Timbalan Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Fisol Salleh.

GEORGE TOWN – Polis Pulau Pinang menasihatkan orang ramai agar tidak terjebak dalam pembelian sijil digital palsu MySejahtera  semata-semata untuk menikmati kelonggaran prosedur operasi standard (SOP)  Pelan Pemulihan Negara yang diumumkan kerajaan baru-baru ini.

Timbalan Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Fisol Salleh berkata, amaran diberikan walaupun setakat ini tiada laporan diterima  berhubung penjualan serta pengunaan sijil palsu itu di negeri ini.

“Kita seru jangan pergi ke arah kaedah pembayar untuk dapatkan sijil tersebut ini kerana pergerakan yang dibuat individu itu boleh menyebabkan berlakunya jangkitan penularan wabak Covid-19.

“Sejak kebelakangan ini Pulau Pinang mencatatkan peningkatan kes Covid-19 jadi jangan ambil kesempatan, kesian dekat orang lain.

“Sama-sama kita patuhi SOP bagi memastikan rantaian Covid-19 ini dapat diputuskan,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Pulau Pinang di sini hari ini.

Dalam perkembangan sama, Fisol memberitahu, tiada sebarang kompaun dikeluarkan setakat ini ke atas individu yang gagal mematuhi kelonggaran SOP sejak Selasa lalu.

”Orang Pulau Pinang ini semua tidak ingkar pada peraturan yang ditetapkan,” ujar beliau.

Sementara itu, Fisol menegaskan tindakan pihaknya mengarahkan orang ramai pamer atau simpan tangkap layar sijil lengkap dua dos vaksin Covid-19 ketika melalui sekatan jalan raya adalah untuk mengelak berlaku kesesakan.

MalaysiaGazette pada Isnin lalu melaporkan orang ramai yang telah lengkap dos vaksin Covid-19 disaran menyediakan tangkap layar sijil digital MySejahtera dalam telefon bimbit masing-masing bagi melancarkan perjalanan serta pemeriksaan di sekatan jalan raya (SJR) sekitar Pulau Pinang.

Saranan itu disampaikan Timbalan Ketua Polis Pulau Pinang susulan pengumuman kerajaan berhubung kelonggaran prosedur operasi standard bagi individu yang sudah lengkap dua dos vaksin Covid-19. – MalaysiaGazette