Home Utama Kerajaan umum tindakan terhadap golongan antivaksin selewatnya bulan depan – PM

Kerajaan umum tindakan terhadap golongan antivaksin selewatnya bulan depan – PM

Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin (kiri) melihat proses pemberian vaksin COVID-19 kepada masyarakat Terengganu pada lawatan di pusat pemberian vaksin (PPV) Taman Tamadun Islam.

KUALA TERENGGANU – Kerajaan bakal mengumumkan tindakan yang akan dikenakan kepada golongan antivaksin sama ada pada bulan ini atau bulan depan, kata Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Perdana menteri berkata ia bagi memastikan negara dapat mencapai imunisasi kelompok dalam membendung penularan pandemik COVID-19.

“Kita akan teliti dan dapatkan sedikit kajian kalau ada kumpulan (antivaksin) ini. Kita perlu tahu latar belakang adakah sebahagian besar itu (daripada mereka) berpenyakit hingga dia takut nak ambil vaksin ataupun kerana sengaja tak nak ambil vaksin kerana tak percaya.

“Jadi bila kita dah analisa…sekiranya peratusan agak kecil sangat, jadi tak membimbangkan, tetapi kalau besar kita kena cari jalan sama ada hendak kenakan mandatori di bawah peruntukan undang-undang sedia ada. Ia akan diputuskan kerajaan dalam tempoh bulan ini atau bulan depan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melawat Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Taman Tamadun Islam di sini hari ini.

Muhyiddin berkata bagaimanapun sebelum sebarang tindakan diambil, kerajaan akan terlebih dahulu meneliti faktor yang menyebabkan keengganan seseorang individu tidak mendaftar sebagai penerima vaksin namun tidak menolak kemungkinan mewajibkan setiap individu mengambil suntikan vaksin berkenaan.

Dalam kunjungan hari ini Muhyiddin turut menyeru agar lebih ramai yang tampil mendaftar untuk mendapatkan suntikan vaksin agar dapat membentung penularan COVID-19.

“Kalau tak ada vaksin tak terjamin, jadi sebab itulah kita nak minta dalam tempoh Oktober kita jangka hampir mencecah imuniti kelompok, maknanya hampir 80 peratus daripada yang patut dapat vaksin sudah diberikan suntikan vaksin,” katanya.

Beliau turut menyatakan golongan remaja berusia 16 dan 17 tahun akan disuntik lebih awal, namun ia hanya boleh dilakukan selepas semua golongan dewasa yang layak selesai divaksin.

Selain itu beliau turut mengumumkan Terengganu akan menerima 590,000 dos tambahan vaksin COVID-19 bulan ini.

PPV Taman Tamadun Islam yang mula beroperasi pada Selasa (10 Ogos) itu mampu menempatkan sehingga 4,000 penerima vaksin pada satu-satu masa dan sebuah PPV integrasi ketiga di Terengganu selepas PPV Stadium Tertutup Kompleks Sukan Gong Badak dan PPV Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA).

Turut hadir Menteri Besar Datuk Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar dan Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) Datuk Ahmad Amzad Hashim. – BERNAMA