KUALA LUMPUR – Majlis Belia Malaysia (MBM) berkata, teguran yang diberikan oleh Sultan Johor dan pemangku Raja Pahang seharusnya menjadi isyarat dan mesej jelas kepada semua ahli politik dalam keadaan rakyat sedang menderita dan kehilangan nyawa.
Lantaran itu, Presiden MBM, Jufitri Joha berharap buat sementara waktu, semua pihak tanpa mengira kiblat politik masing-masing agar berjiwa besar, duduk semeja dan bersatu dalam meraikan usaha yang kita semua percaya iaitu ‘exit door’ kepada penyakit ini adalah suntikan vaksinisasi.
Dengan kadar vaksinisasi dos kedua masih jauh menjangkau angka 50 peratus, ditambah penderitaan rakyat yang dihimpit masalah ekonomi dan membawa kepada kadar kes bunuh diri yang semakin meningkat, MBM menyifatkan ini bukan waktu sesuai untuk meneruskan perbalahan politik yang merungsingkan belia dan rakyat.
Katanya, MBM menjunjung kasih titah Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah, bahawa sekarang bukan waktu untuk pemimpin politik berebut kuasa dalam keadaan rakyat sedang menderita dengan pandemik Covid-19.
Beliau menyeru rakyat dan pemimpin mengamalkan sikap saling tolong menolong tanpa mengira kaum, agama dan fahaman politik dalam memastikan nasib rakyat dapat diberikan perhatian utama.
Dalam masa sama, Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar turut menzahirkan rasa kecewa dengan tindakan pemimpin politik yang cuba mengganggu-gugat kerajaan dan berebut kuasa.
Sultan Ibrahim menegaskan agar pemimpin perlu jujur dan amanah dalam memikul tanggungjawab diberikan dengan mengutamakan kepentingan rakyat dan perpaduan ummah.
Bukan mengutamakan kepentingan diri sendiri sehingga menggugat keharmonian masyarakat dan kestabilan politik tanah air.
MBM kata Jufitri, berdiri teguh bersama masyarakat yang tidak menyebelahi mana-mana pihak menggesa pemimpin politik kasihankanlah rakyat.
“Tumpukan perhatian penuh kepada pemulihan negara sehingga keadaan reda yang membolehkan pilihan raya diadakan bagi memberikan laluan rakyat memilih kerajaan pilihan mereka yang lebih stabil,” katanya. – MalaysiaGazette