MINGGU lepas telah menyaksikan berlabuhnya drama bersiri Ayahanda yang disiarkan sebanyak 13 episod dalam saluran Lestary TV3 bermula daripada 10 Julai 2021 sehingga 31 Julai 2021. Ia merupakan sebuah drama yang diadaptasi daripada karya sastera hasil kepengarangan tokoh sasterawan profilik negara iaitu Almarhum Azizi Hj Abdullah. Drama bersiri ini diterbitkan oleh Zeel Production Sdn Bhd telah diarahkan dengan jayanya oleh Dato A Tamimi Siregar iaitu nama yang
cukup besar dan berpengaruh dalam dunia lakonan di Malaysia.
Dengan mengambil nama-nama besar sebagai pelakon utama antaranya seperti Jalil Hamid sebagai Haji Abdullah dan juga
Fauziah Ahmad Daud sebagai Haji Noriah, drama ini secara relatifnya telah meninggalkan impak yang besar kepada jiwa penonton yang setia menonton di kaca televisyen hampir tiga minggu lamanya ia bersiaran. Apakah formula dan rahsianya sehingga ia meniti di bibir penonton yang acap kali tidak puas
untuk mengetahui sambungan episod seterusnya? Begitu juga ada sebilangan penonton yang tidak kering air mata membasahi melalui penghayatan setiap plot-plot penceritaan yang
dipaparkan dalam drama Ayahanda. Ditambah pula respons dan komen daripada netizen di media sosial rata-rata memuji jalan penceritaan dan pengkaryaan yang ditonjolkan dalam drama ini.
Diselit pula dengan lagu Coretan Pilu yang dibawakan khas oleh Dato Awie, sememangnya ia telah membawa satu aroma semangat yang baru tiap kali menonton drama ini. Penulis dapat merasakan ramai khalayak yang hanya mengetahui Ayahanda ini adalah asal daripada sebuah karya novel selepas menonton drama bersiri ini. Pasti!
Melihat kepada trend penghasilan filem atau drama yang diadaptasi daripada karya novel khususnya di rantau nusantara ini mungkin bilangannya agak banyak juga. Penulis mengambil contoh dari negara jiran Indonesia yang banyak mengambil contoh novelis terkenal iaitu Habiburrahman El-Shirazy atau lebih mesra dengan sapaan Kang Abik.
Dengan mengambil contoh karya beliau yang cukup popular iaitu ‘Ketika Cinta Bertasbih’ yang diterbitkan pada tahun 2007, dua jenis adaptasi yang dilakukan daripada karya novel yang asal.
Pertama, diadaptasi ke layar perak menerusi filem Ketika Cinta Bertasbih pada tahun 2009 dan juga filem Ketika Cinta Bertasbih 2 pada tahun 2011 serta kedua, diadaptasi ke drama bersiri atau
sinetron. Reaksi khalayak dan masyarakat awam ketika itu khasnya di Indonesia sangat luar biasa dan menganggap pencapaian filem Ketika Cinta Bertasbih itu sebagai satu fenomena sehingga dilanjutkan pengambaran untuk sambungan filem itu.
Realiti dan fokusnya ialah kita tidak dapat menafikan sumbangan karya-karya sastera yang dihasilkan oleh para pengkarya dan novelis kita telah membawa masyarakat ke satu tahap pemikiran yang lebih terkehadapan menerusi penilaian dan penghargaan kepada karya sastera itu sendiri. Dengan kata lain, kebanyakan mereka mungkin akan teruja dan berkobar-kobar untuk menelaah karya sastera asal setelah selesai menonton drama atau filem adaptasi. Apatah lagi sekiranya karya sastera itu memaparkan
pengalaman kehidupan sebenar penulis yang disulami dengan pahit, duka, riang dan tawa.
Pasti akan lebih membekas dalam diri pembaca!
Penulis tertarik dengan pandangan yang dikemukakan oleh sarjana kesusasteraan Islam yang mashyur dari bumi Syria iaitu Muhammad Hasan Burayghish. Beliau telah mengemukakan
takrifan konsep yang menggambarkan situasi ini dengan berpendapat bahawa sastera Islam merupakan satu ungkapan sasterawan muslim berteraskan seni yang indah berdasarkan
pengalaman kehidupannya yang berpandukan gambaran Islam yang syumul.
Berdasarkan konsep yang diutarakan oleh beliau, terdapat dua syarat asas yang penting dalam pembentukan konsep tersebut iaitu pertama mestilah menggunakan ungkapan yang mempunyai nilai seni yang indah. Ini bagi membezakan dengan ungkapan biasa yang sering kali digunakan dalam perbualan harian yang sama sekali tidak mempunyai nilai estetika dan keindahan. Syarat kedua, ungkapan tersebut mestilah bersumberkan Islam yang berpaksikan kepada fundamental akidah, syariat dan akhlak.
Ungkapan ini semestinya akan lahir daripada sasterawan yang mempunyai akidah yang mantap kerana mereka memegang amanah yang ditaklif oleh Allah S.W.T dan menyambung mata
rantai perjuangan yang dicetuskan oleh Nabi Muhammad S.A.W.
Berbalik kepada drama Ayahanda yang kini menjadi fenomena terbaru di Malaysia, kita tidak dapat nafikan bahawa khalayak penonton sangat dahagakan drama atau filem yang ditayangkan
di televisyen atau di layar perak yang betul-betul mengangkat isu-isu kemasyarakatan yang sering kali dilupakan.
Acap kali yang tersiar dan menghiasi ruangan malam adalah drama-drama yang berkisar kepada adegan cinta golongan kayangan dan tidak kurang juga adegan pengarah muda
yang sedang membida projek berbilion ringgit. Ini semua adalah sangat merugikan kerana ia hanyalah mengangkat fantasi yang berlebih-lebihan dan tidak berpijak di bumi yang nyata. Isu
masyarakat miskin, keluarga yang berpecah belah, kisah masyarakat yang ketandusan ilmu agama, kesemua ini bagai tidak mendapat tempat dalam mengisi ruangan sinetron malam.
Justeru, dengan pemaparan drama Ayahanda, ia sedikit sebanyak telah ‘memulihkan’ citarasa penonton untuk kembali berpijak pada bumi yang nyata! Seterusnya, dengan pemaparan drama ini sehinggalah ke episod akhir pada 31 Julai yang lepas, ia telah membuktikan secara tidak langsung bahawa khalayak juga perlu menerima naskhah asal iaitu novel Ayahanda itu sendiri yang ditulis oleh Azizi Hj Abdullah.
Khalayak perlu kembali membaca, menelaah dan menghayati setiap dari untaian kata yang disisikan oleh novelis. Ini adalah kerana novel yang dihasilkan itu adalah merupakan kisah benar daripada pengalaman beliau sendiri yang telah mengangkat tema kekeluargaan yang cukup signifikan untuk diteladani oleh kita semua. Isu imam tua yang masih berpegang kepada kaedah tradisional, isu isteri yang sangat mentaati suami dalam segenap perkara, konflik antara anak dan ayah dan tidak dilupakan
kisah cinta lama yang bertaut kembali. Kesemua ini ibarat rencah yang menghidupkan novel itu untuk dihayati oleh kita semua.
Keseluruhannya, novel Ayahanda karangan Azizi Hj Abdullah
adalah naskhah yang wajar untuk kita semua hargai sebagai khazanah sastera bangsa yang sangat berharga. Biarpun penulisnya telah lama pergi meninggalkan kita, karyanya tetap hidup dengan roh estetika Islam untuk memandu khalayak pembaca mengenali dan menghargai nilai kesusasteraan Islam yang sebenar.
Oleh: Dr Mohd Adi Amzar Muhammad Nawawi
Pensyarah Kanan,
Program Bahasa Arab & Kesusasteraan Islam,
Fakulti Pengajian Bahasa Utama
Universiti Sains Islam Malaysia