Home Nasional Salah faham punca kesesakan di PPV Rumah Prihatin @Grand Seasons

Salah faham punca kesesakan di PPV Rumah Prihatin @Grand Seasons

Suasana sesak warga asing beratur panjang untuk mendapatkan vaksin di Rumah Prihatin @Grand Seasons Kuala Lumpur.

KUALA LUMPUR – Salah faham dalam kalangan bukan warganegara yang Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Rumah Prihatin @Grand Seasons menyediakan khidmat vaksinasi walk-in menjadi punca kesesakan luar jangka seperti yang tular di media sosial.

“Akibat salah faham itu, “rush crowd” luar biasa berlaku di luar jangkaan pengurusan dan penguatkuasa,” kata Rumah Prihatin @Grand Seasons dalam kenyataan malam ini.

Menurut kenyataan itu lagi, di peringkat awal pihak Rumah Prihatin bersama Polis DiRaja Malaysia (PDRM) dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) berusaha menyuraikan kesesakan tersebut.

Namun warga asing yang berbaris panjang tanpa penjarakan sosial itu enggan bersurai walaupun arahan dan amaran dikeluarkan berkali-kali.

Rumah Prihatin juga kesal dengan peristiwa tersebut dan akan meningkatkan lagi pematuhan prosedur operasi standard (SOP) dengan bantuan pihak berkuasa bagi memastikan kejadian ini tidak berulang lagi.

Kenyataan itu menambah, program vaksinasi ini diuruskan oleh Rumah Prihatin di bawah Program Vaksinasi MyMedik@Wilayah dan tidak melibatkan mana-mana pihak lain.

Pihaknya menegaskan bahawa Rumah Prihatin hanya menerima pendaftaran terus untuk warganegara tempatan sahaja, dengan keutamaan kepada golongan warga emas, orang kelainan upaya, kelompok terpinggir dan golongan rentan sahaja.

“Rumah Prihatin berharap dapat membantu dalam mengkoordinasikan penyaluran bantuan serta perkhidmatan kepada penduduk Wilayah Persekutuan dengan lebih berkesan supaya insiatif ini sedikit sebanyak dapat membantu dalam membaikpulih keadaan darurat kesihatan, ekonomi, mental dan fizikal rakyat yang begitu terkesan akibat pandemik Covid-19,” katanya. – MalaysiaGazette