Home Politik Serangan Anwar terhadap Azhar satu tindakan jahat – Ali Biju

Serangan Anwar terhadap Azhar satu tindakan jahat – Ali Biju

Ali Biju

KUALA LUMPUR – Serangan yang dilakukan oleh Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim terhadap Speaker Dewan Rakyat, Datuk Azhar Azizan Harun disifatkan sebagai satu tindakan berniat jahat.

Timbalan Menteri Tenaga dan Sumber Asli, Datuk Ali Biju berkata, Anwar mendakwa Azhar gagal memaklumkan kepada Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang beliau telah hilang majoriti setelah beberapa ahli Parlimen UMNO menarik sokongannya kepadanya.

“Berdasarkan Artikel 43 (4) Perlembagaan Persekutuan, akhirnya Perdana Menteri yang memutuskan apakah beliau mempunyai majoriti di Dewan Rakyat.

“Sekiranya Speaker memberitahu Perdana Menteri secara rasmi tentang apakah beliau memiliki majoriti, Speaker akan bertindak di luar bidang kuasa dan kekuasaannya,” katanya dalam satu kenyataan.

Ali berkata, Speaker tidak mempunyai kuasa di bawah Perlembagaan Persekutuan untuk memberitahu Perdana Menteri adakah beliau mempunyai majoriti.

Semalam, sebuah laman portal melaporkan Anwar dipetik berkata, beliau mempersoalkan Azhar cuba menutup kelemahan kerajaan yang telah kehilangan majoriti.

Ali yang merupakan bekas Naib Presiden PKP mempersoalkan sama ada Ahli Parlimen Port Dickson cuba membelakangkan Perlembagaan.

“Sangat memalukan apabila pemimpin pembangkang, yang telah menjadi anggota parlimen selama beberapa dekad, sama sekali tidak tahu fakta ini atau lebih teruk lagi, dia sedar sepenuhnya tapi sengaja mengelirukan orang ramai untuk melancarkan serangan hebat terhadap Speaker dan institusi Parlimen,” ujarnya.

Ahli Parlimen Saratok itu turut mengingatkan Anwar bahawa Perdana Menteri telah menetapkan 7 September untuk usul percaya dibawa ke Dewan Rakyat. – MalaysiaGazette

1 Komen

Comments are closed.