Home Nasional Sikap penting diri boleh retak, hancur negara – Dr. Zulkifli

Sikap penting diri boleh retak, hancur negara – Dr. Zulkifli

Dr. Zulkifli Mohamad Al-Bakri

KUALA LUMPUR – Rakyat perlu memelihara kedaulatan negara ini daripada segala ancaman sama ada dalam bentuk dalaman mahupun luaran.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Datuk Dr. Zulkifli Mohamad Al-Bakri berkata, jangan ada di kalangan mereka bersikap mementingkan diri sendiri sehingga keharmonian dan kedaulatan di negara terancam, retak dan hancur. 

Kata beliau, dalam dunia globalisasi dan ledakan era teknologi maklumat ini, semangat patriotism amat penting.

“Semangat ini juga menuntut kita patuh dan taat kepada pemimpin yang adil dan berpegang teguh kepada agama secara menyeluruh.

“Berasaskan kepada dalil yang jelas daripada al-Quran dan hadis Rasulullah SAW, para ulama bersepakat mengatakan, taat kepada pemerintah adalah wajib kepada setiap muslim selagi mana tidak bercanggah dengan syariat Islam, manakala menderhaka merupakan satu dosa besar.

“Sedarlah, pada hari ini pelbagai cara sedang dilakukan oleh musuh untuk melemahkan patriotisme ummah, antaranya melalui manipulasi fakta, pencemaran budaya, penyebaran racun akidah dan pemikiran yang dilaku dan disebarkan sama ada melalui media sosial dan sebagainya,” katanya.

Beliau berkata demikian pada majlis pelancaran Bulan Kebangsaan dan kibar Jalur Gemilang peringkat agensi di bawah Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) menerusi aplikasi zoom hari ini.

Turut hadir, Timbalan Menteri, Datuk Ahmad Marzuk Shaari; Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), Datuk Abdul Aziz Jusoh; Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Dr. Luqman Abdullah; dan ketua-ketua jabatan.

Menurut Dr. Zulkifli, semua cabaran pada hari ini perlu dihadapi antaranya dengan semangat patriotisme.

Beliau menegaskan, sikap tidak kasih kepada negara, memporak perandakan negara, memusnahkan perpaduan kaum, mementing diri dan sebagainya boleh menghancurkan kedaulatan bangsa dan negara.

Sebab itu, katanya, orang-orang dahulu kala memperkenalkan istilah seperti batu api, api dalam sekam, gunting dalam lipatan bagi menggambarkan sikap yang boleh membahayakan keselamatan rakyat dan negara. 

Beliau turut menjelaskan, penjajahan minda di bawah media baharu yang canggih menjadikan ruang sosial tidak mempunyai sempadan lagi, malah segala maklumat memenuhi ruang tanpa kawalan dan pemantauan yang berkesan.

”Proses pendemokrasian maklumat ini berjalan begitu pantas dan sebenarnya media massa mempunyai pengaruh besar dalam mencanai pemikiran rakyat.

”Sekiranya perkara ini kita hadapi tanpa strategi dan perancangan yang teratur, dibimbangi akan menghakiskan semangat patriotisme rakyat di negara ini,” katanya. – MalaysiaGazette