KUALA LUMPUR – Dalam situasi Covid-19 masih lagi berleluasa, semakin ramai rakyat yang terkesan dalam meneruskan kehidupan harian.
Ada yang kehilangan ahli keluarga, ada yang kehilangan sumber pendapatan.
Dengan niat untuk membantu secara berpanjangan, inisiatif #KitaBersama hari ini dilancarkan sebagai pemangkin untuk menggalakkan syarikat-syarikat barangan pengguna bekerjasama dalam membuat kebajikan.
Inisiatif itu merupakan gabungan antara syarikat Baba Products (M)Sdn. Bhd., Mamee Double Decker (M) Sdn. Bhd., Sime Darby Oils, dan Kumpulan Syarikat Etika bersama dengan Food Aid Foundation (FAF), sebuah Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO).
Sebagai permulaan, syarikat-syarikat tersebut telah pun berjaya membuat penghantaran pertama produk-produk BABA’S, MAMEE, ALIF, dan SUSU GOODDAY berjumlah melebihi RM90,000, pagi ini.
“FAF akan segera mengedarkan makanan dan minuman yang diterima kepada mereka yang memerlukan terutamanya penduduk di dalam kawasan Perintah Kawalan Pergerakan
Diperketatkan (PKPD) sekitar Lembah Klang,” kata Pengurus Komunikasi dan Pemasaran Pengguna Baba Products (M) Sdn. Bhd., Farhan Hafetz.
Menurutnya, inisiatif #KitaBersama dimulakan dengan niat untuk menggalakkan syarikat-syarikat barangan pengguna untuk menghulurkan bantuan.
“Kebanyakan syarikat sudah pun membuat aktiviti amal secara bersendirian tetapi lebih baik jika dibuat bersama-sama. Apabila kita semua bekerjasama, lebih ramai yang dapat dibantu secara berterusan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Dalam pada itu, Penolong Pengarah Hal Ehwal Islam dan Pengurusan Kerajaan Mamee Double Decker (M) Sdn.
Bhd., Ahmad Syukry Ibrahim mengalu-alukan inisiatif sebegini dan menyatakan gabungan bersama ini merupakan susulan dari program Mamee Prihatin yang ditubuhkan sejak tahun 2011.
Manakala Pengurus Kanan Bahagian Jualan Pengguna Sime Darby Oils, Mohamad Rahimi Abdullah pula berkata, pihaknya berbesar hati untuk menyertai initiatif ini yang menggalakkan kerjasama ke arah kebaikan.
“Kami berharap ia dapat menjadi inspirasi kepada syarikat-syarikat lain untuk turut serta menghulurkan bantuan terutamanya dalam keadaan sekarang.
“Sejak bermulanya pandemik, Etika Cares, sebuah program bantuan jangka panjang oleh Etika telahpun melancarkan beberapa kempen untuk membantu komuniti yang terkesan,” ujarnya.
Bagi Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Syarikat Etika Malaysia, Singapura dan Brunei, Khalid Alvi pula berkata, menyertai inisiatif berkumpulan sebegini adalah salah satu cara untuk mereka meluaskan lagi peluang membuat kebajikan.
Menurutnya, sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pertama diperkenalkan pada bulan Mac 2020, FAF telah mengedarkan lebih daripada 2 juta kilogram makanan kepada yang memerlukan.
Bagaimanapun sejak PKP 3.0, peningkatan permintaan naik secara mendadak, khususnya daripada komuniti B40.
“Kami tidak mampu untuk memenuhi keperluan masyarakat sepenuhnya. Oleh itu kami mengalukan-alukan sumbangan terutama daripada syarikat pengeluar makanan agar kami dapat meningkatkan jumlah bantuan”, kata Pengasas FoodAidFoundation.org, Rick Chee.
Semua syarikat pengeluar makanan dan minuman di Malaysia dijemput untuk bersama-sama menjayakan initiatif #KitaBersama. Untuk maklumat lanjut, sila hubungi [email protected] MalaysiaGazette