Home Nasional Ramai MP pembangkang tolak kerajaan bipartisan

Ramai MP pembangkang tolak kerajaan bipartisan

Ahli Parlimen Lembah Pantai, Fahmi Fadzil.

KUALA LUMPUR – Cadangan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mencadangkan persefahaman rentas parti untuk bentuk kerajaan bipartisan untuk membawa negara keluar dari krisis ditolak majoriti wakil rakyat pembangkang.

Rata-rata ahli Parlimen terutamanya wakil DAP dan PKR sudah mula meluahkan penolakan itu dalam laman sosial terutamanya Twitter masing-masing.

Ahli Parlimen Segambut, Hannah Yeoh berkata, hakikatnya perutusan Perdana Menteri sebenarnya langsung tidak membantu Malaysia daripada keluar dari ‘bencana’ yang sedang dihadapi.

“Masalah paling besar saya dengan Perikatan Nasional (PN) ini adalah ketidakcekapan barisan menteri Kabinet yang telah menyebabkan keadaan negara pada hari ini.

“Perutusan hari ini langsung tidak menyentuh tentang ketidakcekapan itu mahu pun perubahan untuk membantu Malaysia ketika ini,” tulis wakil rakyat DAP itu.

Manakala seorang lagi wakil rakyat DAP, Ahli Parlimen Ipoh Barat, M. Kula Segaran pula merasakan Muhyiddin perlu letak jawatan sahaja kerana sudah tidak ada sokongan dalam kalangan wakil rakyat.

“Tidak ada dalam Perlembagaan Persekutuan yang mempersoalkan majoriti pembangkang apabila Perdana Menteri tiada sokongan, beliau mesti letak jawatan,” tegasnya.

Bagi Ahli Parlimen Kapar (PKR), Abdullah Sani pula meminta kerajaan Perikatan Nasional (PN) supaya tidak mencuba sangat dan mengucapkan terima kasih untuk tawaran menyertai kerajaan bipartisan.

Try hari sangat tu, by the way thanks. Next,” ciapnya.

Ahli Parlimen Pokok Sena, Mahfuz Omar dari Parti Amanah Negara pula dalam nada sinis meminta Muhyiddin mengambil alih jawatan Ketua Pembangkang bertaraf menteri kanan yang ditawarkan.

“Ingat Mahiaddin umum pakej rangsangan ekonomi yang baru rupanya pakej untuk lembutkan pembangkang dengan scheme of things baru. Saya setuju dengan cadangan Ketua Pembangkang bertaraf menteri dengan segala kemudahan.

“Ok Mahiaddin sudah boleh letak jawatan Perdana Menteri dan ambil alih jawatan taraf menteri,” katanya.

Kata Fahmi Fadzil yang Ahli Parlimen Lembah Pantai (PKR), Muhyiddin sebenarnya telah mengesahkan dirinya hilang majoriti dalam kenyataannya hari ini.

“Terima kasih kerana sahkan. Perkara 43(4) Perlembagaan Persekutuan is triggred. Isu lain tidak timbul. Jangan belakangi fungsi dan kuasa Ketua Utama Negara seperti terkandung dalam 43(2) (a) Perlembagaan Persekutuan. Itu derhaka namanya,” katanya.

Bagi Ahli Parlimen Johor Bharu, Akmal Nasir (PKR) pula menyifatkan perutusan dan cadangan Muhyiddin sebagai ugutan dan sogokan terbuka kepada wakil rakyat.

Manakala Ahli Parlimen Teluk Intan (DAP), Nga Kor Ming  mengucapkan terima kasih sahaja kepada Muhyiddin yang menawarkan cadangan itu dan mendesak Perdana Menteri meletak jawatan secepat mungkin.

Menurut Chang Lih Kang yang juga Ahli Parlimen Tanjung Malim, mengikut Perlembagaan sepatutnya seseorang Perdana Menteri yang hilang majoriti perlu meletakkan jawatan sahaja.

“Beliau tidak ada kuasa untuk menentukan siapa yang ada majoriti dalam Dewan, itu kuasa Yang di-Pertuan Agong,” tegasnya.

Kata Ahli Parlimen Klang (DAP), Charles Santiago pula, Muhyiddin cuba memberikan ‘gula-gula’ untuk mendapatkan sokongan dan undi.

Kata Ahli Parlimen Jerlun (Pejuang), Datuk Seri Mukhriz Mahathir pula, di mana dalam Perlembagaan Persekutuan yang menyatakan seandainya Perdana Menteri yang hilang majoriti tidak boleh meletak jawatan sehingga ada ahli Parlimen lain dapat buktikan mempunyai majoriti.

“Adakah benar saya dengar Muhyiddin cuba berikan sogokan untuk kekal jawatan Perdana Menteri sehingga Julai 2022? Adakah beliau ingat kita ini bodoh?

“Akta Anti Lompat Parti? Adakah Muhyiddin sudah lupa rata-rata yang lompat itu dalam kerajaannya termasuk Muhyiddin?” soalnya. – MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN:

PM cadang persefahaman rentas parti bentuk kerajaan bipartisan