KUALA LUMPUR – UMNO tidak boleh mempertimbangkan segala tawaran daripada seorang yang sudah tiada keabsahan apatah lagi bersifat sogokan terbuka dan terdesak hanya untuk memanjangkan hayat politiknya.
Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, kenyataan Perdana Menteri hari ini bukti secara terbuka Tan Sri Muhyiddin Yassin sudah tidak lagi mempunyai sokongan majoriti ahli-ahli Parlimen.
“Dengan pengakuan ini, maka YB Pagoh sudah tiada lagi keabsahan untuk menjalankan tugas-tugas selaku Perdana Menteri yang sah sebagaimana Perkara 43(4) Perlembagaan Persekutuan.
“Selaku ahli Parlimen yang berpegang kepada sumpah jawatan untuk memelihara, melindungi dan mempertahankan Perlembagaan, YB Pagoh tidak wajar merampas kuasa KDYMM Yang di-Pertuan Agong dalam menentukan urusan pelantikan Perdana Menteri,” katanya dalam satu kenyataan malam ini.
Menurut Ahmad Zahid, UMNO menasihatkan agar rakyat dapat bertenang sehingga Yang di-Pertuan Agong melaksanakan tugas dan tanggungjawab Perlembagaan baginda di bawah Perkara 40(2) untuk melantik seorang Perdana Menteri baharu dalam kalangan Ahli Dewan Rakyat.
Dalam pada itu, katanya, UMNO merakamkan penghargaan setingginya kepada 15 ahli Parlimen UMNO yang setia dan istiqomah mempertahankan pendirian parti untuk terus membela Institusi Raja dan Perlembagaan Negara.- MalaysiaGazette