KUALA LUMPUR – Belum ada sebarang kemasukan varian Lambda ke negara ini, kata Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah.
Menurutnya, pihaknya akan meningkatkan usaha pelaksanaan penjujukan genom dalam membendung kemungkinan penularan varian tersebut.
“Selain itu, kawalan sempadan amat penting untuk membendung jangkitan varian baharu ini. Kita mengawal kes dari luar negara dengan baik menggunakan kaedah elektronik (gelang pengawasan).
“Kita turut menjalankan penilaian risiko sebelum membenarkan individu yang pulang dari luar negara untuk bercampur dengan komuniti,” katanya pada sidang media hari ini.
Varian Lambda satu lagi varian baharu disahkan ditemui di Amerika Syarikat, Peru dan Jepun yang dikesan lebih mudah berjangkit dan lebih kuat melawan imuniti termasuk individu yang sudah divaksin.
Pada masa sama, Dr. Noor Hisham berkata, Kementerian Kesihatan akan memulakan penjujukan genom varian Covid-19 secara konsortium dengan menerima peruntukan sebanyak RM3 juta terhadap 3,000 sampel.
Dalam perkembangan lain, beliau berkata, Malaysia berharap data negara ini dapat membantu Pertubuhan Kesihatan Dunia (WHO) menjalankan kajian terhadap tiga jenis ubat.
Ujarnya, Malaysia satu daripada 52 negara yang terpilih oleh WHO untuk menjalankan kajian terhadap ubat jenis artesunate, imatinib dan infliximab.
“Sebanyak 600 hospital dari 52 negara terpilih dalam Kajian Solidariti Tambahan ini untuk menjalankan kajian terhadap tiga ubat berkenaan dan Malaysia mempunyai pesakit Covid-19 yang mencukupi untuk dijalankan kajian.
“Ubat artesunate digunakan bagi rawatan malaria yang kritikal. Imatinib pula ubat untuk kanser darah atau leukimia. Infliximab merawat penyakit sistem imun seperti Crohn dan rheumatoid arthritis,” ujarnya.
Tambahnya, ketiga-tiga ubat berkenaan mempunyai kesan antiviral dan disebabkan itu ia perlu dikaji keberkesanannya sebelum dapat digunakan bagi membendung penularan pandemik.
“Kalau sudah melaksanakan kajian, barulah kita tahu sama ada ia berkesan atau tidak. Kajian ini dilakukan secara besar besaran membabitkan 52 negara dan data yang akan diperoleh nanti lebih menyakinkan dan lebih kukuh,” katanya. – MalaysiaGazette