PUTRAJAYA – Kira-kira 50 pengamal media dan wartawan kembali berkampung di pintu masuk Perdana Putra, petang ini.
Ia berikutan laporan media yang menyatakan satu mesyuarat tergempar akan berlangsung pada petang ini di Pejabat Perdana Menteri.
Mesyuarat itu dilaporkan dilakukan ketika kerajaan Perikatan Nasional (PN) yang diketuai Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dikatakan sudah hilang majoriti.
Hasil tinjauan MalaysiaGazette sejak jam 3.30 petang tadi, banyak kenderaan memasuki Perdana Putra walaupun pejabat ditutup pada hujung minggu.
Setakat ini, masih belum ada sebarang makluman terperinci mengenai perjalanan dan tujuan mesyuarat itu yang terus menjadi teki teki kepada pengamal media.
Selain di perkarangan Perdana Putra, beberapa lokasi turut menjadi tumpuan media antaranya di kediaman rasmi Perdana Menteri, Seri Perdana selain kediaman Muhyiddin di Bukit Damansara.
Ia bagi membawa perkembangan terkini mengenai suasana politik negara yang semakin menimbulkan seribu satu pertanyaan pada saat penularan Covid-19 masih belum reda ketika ini. – MalaysiaGazette