KUALA LUMPUR – Tiada kenderaan membawa orang kenamaan (VIP) atau ahli politik masuk ke kediaman peribadi Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin di Bukit Damansara malam ini.
Walaupun hujan, ia tidak menghalang sekumpulan petugas media dari pelbagai agensi untuk terus menunggu bagi mendapatkan perkembangan terkini susulan kemelut politik negara.
Terdahulu, kenderaan pelbagai guna (MPV) berwarna hitam yang membawa Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-Tugas Khas), Datuk Seri Redzuan Md Yusof keluar dari kediaman Muhyiddin pada pukul 7.08 malam.
Redzuan sempat membuka tingkap dan melambai ke arah petugas media, namun enggan memberi sebarang komen mengenai pertemuan beliau dengan Muhyiddin bersama beberapa lagi Menteri dan Timbalan Menteri yang lain.
Selain Redzuan, turut dilihat keluar sekitar pukul 6.30 petang dari kediaman Ahli Parlimen Pagoh itu adalah Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Edmund Santhara Kumar dan Menteri Sumber Manusia, Datuk M. Saravanan.
Hari ini kediaman Muhyiddin di Jalan Setiabakti tidak putus-putus dikunjungi anggota Kabinet yang dilihat keluar dan masuk.
Antara yang dilihat hadir pada petang tadi termasuklah Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali; Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rina Harun; Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal dan Timbalan Menteri Pertahanan, Datuk Seri Ikmal Hisham Abdul Aziz.
Turut kelihatan Penasihat Khas Perdana Menteri iaitu Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu.
Ahmad Faizal yang juga Timbalan Presiden Parti Pribumi Bersatu (Bersatu) ketika ditemui pemberita berkata, beliau hadir ke kediaman Muhyiddin untuk mesyuarat pengurusan parti.
Selain kediaman Muhyiddin di Bukit Damansara, petugas media turut berkumpul di hadapan bangunan Perdana Putra petang tadi susulan terdapat dakwaan bahawa satu mesyuarat Kabinet tergampar akan berlangsung. – MalaysiaGazette