MELAKA – Sekumpulan pekerja warga Bangladesh dipercayai melakukan provokasi terhadap pengawal keselamatan dan petugas Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dalam satu kejadian di Pantai Puteri, di sini, malam kelmarin.
Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Afzanizar Ahmad berkata, dalam kejadian 10.30 malam di asrama pekerja asing itu dipercayai berpunca daripada rasa tidak puas hati tindakan pengawal keselamatan kilang menguruskan salah seorang rakan mereka yang tidak sedarkan diri.
Beliau berkata, pengawal keselamatan yang juga pengadu telah membawa turun pekerja yang tidak sedarkan diri dari asrama namun selepas ambulans tiba pekerja terbabit telah disahkan meninggal dunia.
“Kekecohan disyaki bermula apabila salah seorang daripada mereka enggan memberikan kerjasama sebelum membuat rusuhan di hadapan pintu pagar asrama.
“Suspek telah melontar batu ke arah pengawal keselamatan dan merosakkan pondok pengawal selain menyebabkan van ambulans yang dinaiki petugas KKM mengalami kemek dan calar,” katanya ketika dihubungi pemberita di sini hari ini.
Afzanizar berkata, bagaimanapun pengadu berusia 33 tahun itu bersama petugas perubatan KKM telah keluar dari asrama untuk menyelamatkan diri dan tiada sebarang kecederaan dilaporkan.
Beliau berkata, kejadian itu juga menyebabkan perkakas pejabat pondok pengawal, kamera litar tertutup (CCTV), peti penggera kebakaran dan sebuah motosikal jenis Honda Wave milik pengawal keselamatan dirosakkan dan kerugian dianggarkan berjumlah RM22,000.
“Bagaimanapun setakat ini tiada tangkapan dilakukan memandangkan lebih 670 pekerja asing itu sedang menjalani perintah kuarantin dan memakai gelang merah jambu.
“Siasatan masih diteruskan di bawah Seksyen 148 dan Seksyen 427 Kanun Keseksaan dan orang ramai juga dinasihatkan supaya tidak bimbang dengan situasi itu,” katanya.
Sebelum ini, beberapa rakaman video dipercayai rusuhan itu tular di laman sosial Facebook. – Bernama