Home Nasional TNB peruntuk RM120 juta tajaan biasiswa dan pinjaman untuk 331 lepasan SPM...

TNB peruntuk RM120 juta tajaan biasiswa dan pinjaman untuk 331 lepasan SPM 2020

KUALA LUMPUR – Sebanyak RM120 juta diperuntukkan Tenaga Nasional Berhad (TNB) menerusi Yayasan Tenaga Nasional (YTN) untuk tajaan biasiswa dan pinjaman pendidikan boleh ubah.

Tajaan itu diperuntukkan kepada 331 orang pelajar yang berjaya melanjutkan pengajian mereka di Institutsi Pengajian Tinggi, pada tahun ini.

Pengerusi TNB, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, RM35 juta daripadanya akan diperuntukkan untuk menyediakan biasiswa kepada 120 pelajar yang cemerlang dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2020.

“TNB memperuntukkan RM35 juta dalam bentuk biasiswa kepada 120 pelajar cemerlang SPM 2020 bagi melanjutkan pelajaran dalam jurusan kejuruteraan, data sains dan analitik, sains komputer, perakaunan dan pengajian perniagaan,” katanya menerusi kenyataan.

Manakala, 100 penerima biasiswa YTN itu akan melanjutkan pengajian di Universiti Tenaga Nasional (UNITEN). Manakala baki 20 pelajar lagi akan menlanjutkan pengajian di universiti luar negara.

Tajaan biasiswa penuh itu merangkumi elaun sara hidup, yuran pengajian, kos pembelian komputer peribadi, buku dan lain-lain keperluan.

“Pelajar-pelajar ini telah membuktikan bahawa mereka mampu mendapat keputusan yang cemerlang meskipun terpaksa berdepan dengan situasi pembelajaran dalam talian berbanding pembelajaran secara konvensional iaitu secara bersemuka lantaran penularan Covid-19,” tambahnya.

YTN juga katanya, memperuntukkan sejumlah RM1 juta bagi pembiayaan seorang pelajar sepanjang tempoh pengajian di universiti luar negara, manakala RM120,000 hingga RM140,000 (bergantung kepada bidang pengajian) bagi pembiayaan pengajian seorang pelajar di UNITEN.

“Penerima biasiswa YTN pada tahun ini dipilih berdasarkan faktor akademik, kualiti kepimpinan dan penglibatan aktif dalam kokurikulum. Pelajar yang terpilih ini juga mempunyai peluang untuk menjadi warga kerja TNB apabila tamat pengajian kelak dan diharapkan dapat menjadi pemimpin pelapis untuk menerajui TNB pada masa depan,” ujar beliau.

Mahdzir berkata, penerima biasiswa dipilih daripada sejumlah 8,400 pemohon di seluruh negara yang mengemukakan permohonan untuk biasiswa YTN.

Tambahnya lagi, tajaan biasiswa ini merupakan satu lagi komitmen TNB untuk terus bersama rakyat, selain membantu usaha meningkatkan modal insan berkualiti untuk pertumbuhan negara pada masa akan datang.

Sementara itu kata Mahdzir, seramai 211 pelajar dengan peruntukan sebanyak RM85 juta pula terpilih menerima pinjaman pendidikan boleh ubah untuk mengikuti pengajian di UNITEN dan Universiti Awam bagi mengikuti pengajian di peringkat Diploma, Program Asas dan Ijazah Sarjana Muda.

Untuk rekod, YTN telah memperuntukkan lebih RM1.2 bilion sejak dari tahun 1993 lagi dengan memberikan peruntukan dermasiswa MyBF (RM66 juta), biasiswa (RM597 juta) dan pinjaman pendidikan boleh ubah (RM547 juta) kepada lebih 18,500 pelajar.-MalaysiaGazette