Home Nasional 2 pelajar sekolah jadikan Jalan Lahar Kepar ‘litar lumba’ ditahan

2 pelajar sekolah jadikan Jalan Lahar Kepar ‘litar lumba’ ditahan

Dua pelajar sekolah menengah ditahan selepas melakukan aksi berbahaya di Jalan Lahar Kepar, Penaga di sini, semalam.

SEBERANG PERAI – Jalan Lahar Kepar, Penaga di sini, masih dijalankan ‘litar lumba’ walaupun operasi banteras kegiatan tidak bermoral itu sering kali dilakukan pihak polis.

Ia terbukti apabila sepasukan polis Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah Seberang Perai Utara menahan dua pelajar sekolah menengah yang sedang leka melakukan aksi wheelie di jalan tersebut semalam.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Noorzainy Mohd Noor berkata, pihaknya mendapati dua lelaki itu menunggang motosikal dalam keadaan berbahaya menerusi pemantauan Ops Samseng bermula jam 6 petang hingga 8 malam itu.

Noorzainy.

“Hasil pemantauan mendapati penunggang motosikal berusia 16 tahun membuat aksi wheelie bermula dari Jalan Lahar Kepar ke Lahar Ikan Mati arah Penaga sambil membonceng rakannya berusia 14 tahun.

“Susulan itu, kedua-dua remaja berkenaan ditahan di tepi jalan sebaik mereka pusing semula di laluan terbabit,” katanya dalam satu kenyataan media, hari ini.

Difahamkan, motosikal Honda Ex-5 tersebut milik ahli keluarga salah seorang suspek dan dia memberi alasan keluar berjumpa dengan rakannya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Sehubungan itu, Noorzainy meminta ibu bapa mengawal tingkah laku anak masing-masing agar tidak terjebak dengan kegiatan tidak bermoral sebegini.

“Kita nasihatkan ibu bapa untuk tidak memberikan kenderaan mereka kepada anak bawah umur atau mereka yang tidak mempunyai lesen memandu yang sah,” ujar Noorzainy. – MalaysiaGazette