KUANTAN – Pemilik premis dalam Negeri Pahang diingatkan untuk memasang Jalur Gemilang dan Bendera Negeri Pahang sempena sabutan bulan Kemerdekaan seperti tertakluk dalam syarat lessen niaga premis.
Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan dan Perumahan Negeri Pahang, Datuk Abd Rahim Muda berkata, pemasangan bendera bersempena sambutan Bulan Kemerdekaan pada tahun ini bermula esok hingga 16 September 2021.
Sehubungan itu, pemilik lesen premis di negeri ini diminta mengibarkan Jalur Gemilang dan Bendera Negeri Pahang serta memberikan pencahayaan kepada bangunan premis masing-masing sepanjang sambutan tersebut.
Tinjauan MalaysiaGazette mendapati rata-rata peniaga pemilik premis kedai makan sudah mula memasang Jalur Gemilang dan bendera negeri kerana mereka telah beroperasi awal berbanding sektor lain.
“Dalam syarat lesen peniagaan sudah dinyatakan pemilik premis perniagaan perlu memasang bendera setiap kali sambutan bulan kemerdekaan, jika gagal notis akan dikeluarkan.
“Baru 40% yang pasang, mungkin kita nampak tak banyak pemilik premis tidak memasangkan bendera, ini berikutan banyak premis masih ditutup dan belum beroperasi, diharapakan bertambah selepas 16 Ogos ini.
“Menghormati dan mengibarkan Jalur Gemilang sempena sambutan bulan kemerdekaan adalah simbol penting dan merupakan tunjang kepada pemupukan semangat cintakan negara, kesatuan dalam pelbagai bangsa dan agama.
“Suka diingatkan, Bendera Malaysia dan Negeri Pahang adalah lambang kebesaran dan kedaulatan negara dan negeri,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui semasa program Pemulihan Sungai Galing di sini.
Oleh yang demikian, bendera yang dipasang hendaklah dalam keadaan yang baik dan elok serta dikibar mengikut garis panduan yang tepat.
Jelas Abd Rahim, mana-mana bendera yang telah koyak, bergulung atau telah lusuh perlu diganti dan tidak boleh dikibarkan. – MalaysiaGazette