Home Nasional JKNJ akan tingkatkan kapasiti katil HSI

JKNJ akan tingkatkan kapasiti katil HSI

Pesakit yang disyaki menghidap Covid-19 diberi rawatan di luar perkarangan HSI.
JOHOR BAHRU – Jabatan Kesihatan Negeri Johor (JKNJ) akan meningkatkan kapasiti jumlah katil di wad Covid-19 sedia ada di negeri ini kepada 44 katil setiap wad.
Menteri Besar, Datuk Hasni Mohammad, menerusi ciapan Twitternya berkata, ia akan dilakukan segera bagi memastikan pesakit Covid-19 negeri ini mendapat rawatan serta kemudahan yang baik.
“Jumlah katil wad Covid-19 di Hospital Kluster di Mersing dan Kota Tinggi juga akan dimaksimumkan.
“Ini termasuk kemudahan khemah di hadapan Jabatan Kecemasan & Trauma Hospital Sultan Ismail (HSI) Johor Bahru,  juga akan ditambah baik,” katanya.
Hasni menyatakan perkara itu selepas tular aduan seorang pengguna laman sosial yang mendakwa, HSI dalam keadaan amat menyedihkan dengan katil yang tidak mencukupi dan diletakkan di dalam khemah sehingga air hujan memasuki bahagian dalam khemah.
Dalam pada itu, Tunku Mahkota Johor,  Tunku Ismail Ibrahim berkata, Pengarah Kesihatan Negeri Johor, Datuk Dr Aman Rabu menemui beliau hari ini bagi memaklumkan laporan lengkap selain tindakan yang akan diambil bagi mengatasi isu berkenaan.
Tunku Ismail dalam ciapan di Twitter meminta, JKNJ menyediakan  laporan awal mengenai keadaan semasa pesakit Covid-19 di HSI.
Sementara itu, tinjauan Malaysia Gazette di HSI mendapati ada khemah didirikan bagi menempatkan pesakit yang tular sejak beberapa hari lalu berada berhampiran di  Pusat Kecemasan HSI di bahagian kiri hoapital berkenaan.
Sebanyak enam buah khemah semuanya.
Khemah-khemah itu dipercayai menempatkan pesakit Covid-19 yang sedang dirawat.-MalaysiaGazette