Home Nasional Mulai esok boleh beriadah di taman rekreasi

Mulai esok boleh beriadah di taman rekreasi

Orang awam beriadah selepas Majlis Keselamatan Negara (MKN) membenarkan aktiviti sukan seperti 'jogging', 'brisk walk', berbasikal dan senaman yang terhad bermula hari ini ketika tinjauan lensa Malaysia Gazette di sekitar Padang MPAJ, Ampang. Foto HAFIZ SOHAIMI, 12 FEBRUARI 2021.

KUALA LUMPUR – Kerajaan bersetuju untuk membenarkan membenarkan taman-taman rekreasi awam bagi negeri-negeri di dalam Fasa 1 PPN dibuka bagi tujuan aktiviti riadah berkuatkuasa esok.

Bagaimanapun kebenaran itu dibenarkan hanya untuk aktiviti yang boleh dilakukan secara individu seperti jogging, berbasikal dan bersenam dibenarkan, selari dengan SOP sukan dan riadah dalam Fasa 1 PPN.

Dalam satu kenyataan media sebentar tadi, perdana menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, orang ramai juga  dibolehkan mengunjungi taman-taman rekreasi awam di kawasan kejiranan sahaja.

“Janganlah rentas negeri atau daerah untuk pergi ke taman rekreasi lain.

“Kebenaran ini amat penting untuk rakyat mendapat lebih masa berada di kawasan yang terbuka dan mempunyai sistem pengudaraan yang lebih baik berbanding hanya terkurung di rumah. Jadi, saya amat berharap agar kemudahan ini tidak disalah guna.

“Ingin saya tegaskan pihak berkuasa tempatan (PBT) dan agensi berkaitan yang bertanggungjawab memantau pematuhan SOP di taman-taman rekreasi awam ini.

“Mestilah bertanggungjawab sepenuhnya ke atas pelaksanaan kemudahan yang diberikan bagi memastikan ia dilaksanakan mengikut peraturan serta garis panduan yang telah ditetapkan dan mengelakkan mudarat,” katanya.

Dalam pada itu, Muhyiddin juga mengumumkan kerajaan sedang meneliti pandangan serta maklum balas daripada pemegang taruh berhubung perancangan untuk menjadikan Pulau Langkawi sebagai projek perintis destinasi gelembung pelancongan.

“Perancangan ini penting untuk Kerajaan merancakkan semula industri pelancongan selepas lebih setahun terkesan akibat pandemik.

“KKM serta pakar-pakar kesihatan telah menyarankan Kerajaan agar melaksanakan perancangan ini hanya apabila kadar vaksinasi lengkap penduduk Pulau Langkawi mencapai sekurang-kurangnya 80 peratus daripada jumlah keseluruhan populasinya.

“Kumpulan yang dibenarkan melancong ke Pulau Langkawi kelak adalah terhad kepada individu-individu yang telah menerima vaksinasi lengkap.

“Selain Pulau Langkawi, kerajaan juga mempunyai perancangan untuk melaksanakan pendekatan gelembung pelancongan di lebih banyak destinasi.

“Ini terutamanya yang mempunyai kaedah kawalan pergerakan keluar masuk pelancong yang baik seperti di pulau- pulau peranginan lain yang terdapat di seluruh negara.

“Jika semua berjalan lancar, insya-Allah gelembung pelancongan akan dilaksanakan secara lebih meluas,” ujarnya. -MalaysiaGazette