Home Pendapat Penjagaan gigi palsu

Penjagaan gigi palsu

Kebersihan gigi dan mulut perlu diberi perhatian. Gambar hiasan

UMUM mengetahui seluruh dunia telah dijangkiti dengan wabak COVID-19 bermula pada
Disember 2019. Semasa berlakunya gelombang pertama pandemik COVID-19, kita
menyaksikan amalan kesihatan pergigian terpaksa dihentikan di seluruh dunia. Selama dua hingga tiga bulan, semua janji temu pergigian perlu ditangguhkan atau dibatalkan kecuali untuk rawatan kecemasan sahaja. Sebagaimana yang telah dilaporkan oleh anggota dan ahli majlis FDI yang bersidang sempena Hari Kesihatan Oral Sedunia Mac lalu, keadaan kesihatan gigi dan gusi di kalangan penduduk dunia telah mengalami kemerosotan yang ketara disebabkan oleh perubahan amalan pergigian tersebut.

Amalan kesihatan pergigian di kebanyakan negara akhirnya dapat beroperasi semula di antara gelombang pertama dan kedua, namun, perkhidmatan yang ditawarkan masih lagi terhad. Selain itu, perasaan takut dijangkiti oleh virus COVID-19 semasa mendapatkan rawatan menyebabkan pesakit mengambil keputusan sendiri untuk menangguhkan janji temu, seterusnya menyumbang kepada salah satu penyebab kemerosotan kesihatan mulut di kalangan penduduk dunia.

Pada masa ini, gelombang ketiga masih belum menampakkan tanda-tanda surutnya kes
jangkitan. Malah sehingga ke hari ini, Malaysia telah mencatatkan hampir 20 ribu kes
jangkitan harian di seluruh negara, memungkinkan perjuangan kita menentang wabak
COVID-19 masih perlu diteruskan dan dipanjangkan ke suatu tarikh yang tiada siapa mampu meneka dan menjangka. Oleh itu, kita harus menyedari bahawa setiap individu perlu meneruskan perjuangan menentang COVID-19 dengan menjalani kehidupan dengan norma baharu.

Mereka juga tidak perlu takut untuk mengunjungi klinik pergigian dalam mendapatkan rawatan yang rutin. Ini bagi memastikan tahap kesihatan mulut mereka berada di tahap yang memuaskan terutamanya di musim Perintah Kawalan Pergerakan atau PKP.
Bagi individu yang memakai gigi palsu, beberapa langkah berikut haruslah diamalkan dalam menjamin kesejahteraan kesihatan mulut serta tisu-tisu yang berada di dalamnya terutamanya semasa PKP.

Antaranya ialah mereka mesti memastikan bahawa gigi palsu tersebut serta gigi asli bersebelahan (sekiranya ada), tisu lelangit, gusi serta tisu lembut di sekitarnya dibersihkan dengan teliti setiap kali selepas makan. Langkah ini bertujuan untuk membuang sisa-sisa makanan dan lapisan plak berbakteria yang melekat pada gigi palsu tersebut dan tisu-tisu di persekitarannya. Ini kerana gigi palsu yang tidak dijaga boleh berubah warna dan mempunyai bau yang tidak menyenangkan sekiranya dibiarkan berpanjangan.

Adalah disarankan agar berus gigi yang lembut digunakan untuk membersihkan gigi palsu
kerana penggunaan berus gigi yang keras dan kasar boleh menyebabkan berlakunya calar
pada permukaan gigi dan bahan plastik atau acrylic. Kesan calar itu boleh mengundang
kepada berlakunya pengumpulan plak pada permukaan gigi palsu tersebut dan boleh
menyebabkan berlakunya perubahan warna dan yang paling dirisaukan ialah ianya boleh
menjadi medium kepada berlakunya jangkitan kulat.

Semasa membersihkan gigi palsu, disarankan gigi palsu tersebut dilapik dengan tuala atau membersihkannya dalam sebekas air bersih untuk mengelakkan ia patah sekiranya terjatuh. Kita juga hendaklah memastikan bahawa pembersihan gigi palsu itu dilakukan mengunakan air biasa, bukannya air panas. Ini kerana air panas boleh menyebabkan berlakunya perubahan pada bahan plastik atau acrylic seterusnya menjadikannya berubah bentuk dan rosak.

Pembersihan gigi palsu menggunakan air bersih sudah memadai, namun sekiranya pemakai mahu menggunakan sesuatu produk pembersihan untuk membersih atau merendam gigi palsu, mereka haruslah mengikuti arahan pengilang dengan merujuk kepada label produk. Apabila selesai, gigi palsu tersebut hendaklah dibilas menggunakan air bersih yang banyak bagi membuang sisa-sisa produk pembersihan tersebut. Namun hendaklah diingatkan agar pemakai tidak sekali-kali menggunakan produk pembersih tersebut untuk mencuci gigi palsu mereka di dalam mulut!

Pemakai gigi palsu juga hendaklah memastikan bahawa gigi palsu itu dibersih dan
ditanggalkan sebelum tidur. Perkara ini sangat penting untuk dilakukan, kerana pada malam hari jumlah pengeluaran air liur menjadi kurang di mana ianya disebut sebagai nocturnal effect. Fungsi air liur dalam pemakaian gigi palsu adalah signifikan kerana air liur mengandungi beberapa jenis antibodi yang menjadi agen pembasmi jangkitan bakteria dan kulat selain membantu dalam pembersihan mulut dan pelekatan gigi palsu.

Memandangkan kuantiti air liur adalah berkurangan pada malam hari, maka, pemakaian gigi palsu semasa tidur adalah ditegah kerana ianya boleh meningkatkan risiko keradangan atau jangkitan kulat pada tisu lelangit yang dikenali sebagai ‘denture stomatitis’. Selain itu, ianya juga berfungsi untuk “merehatkan” mulut serta tisu-tisu di sekitarnya selama beberapa jam dalam sehari.

Sebelum tidur, pastikan gigi palsu tersebut disimpan di dalam bekas tertutup yang diisi
dengan air bersih. Ini bagi mengelakkan bahan plastik gigi palsu tersebut dari menjadi kering, rapuh seterusnya mudah patah sekiranya dibiarkan di luar secara berterusan untuk jangka masa yang lama. Apabila berlaku sesuatu keadaan di mana gigi palsu didapati longgar dan tidak stabil, pengunaan pelekat gigi palsu seperti Polident boleh digunakan terutamanya pada waktu PKP.

Namun, ianya haruslah dibersihkan setiap hari untuk mengelakkan daripada terkumpulnya plak pada bahan pelekatan tersebut. Walau bagaimanapun, sekiranya masalah kelonggaran dan ketidakselesaan atau ketidakstabilan gigi palsu itu masih berlarutan, maka janji temu dengan doktor gigi harus dilakukan supaya pembetulan pada gigi palsu sedia ada atau pembuatan gigi palsu baharu boleh dilakukan. Ini bertujuan untuk meningkatkan kualiti gigi palsu tersebut.

Di samping itu, pada masa yang sama, doktor gigi juga boleh menjalankan pemeriksaan pada bahagian mulut yang lain seperti pipi, gusi dan lidah untuk mengesan penyakit berkaitan dengan pemakaian gigi palsu. Ini kerana pemakaian gigi palsu yang tidak
stabil dan longgar dalam suatu tempoh yang panjang dan berterusan boleh menyebabkan
berlakunya kecederaan atau trauma pada tisu mulut yang lain seterusnya boleh menyebabkan berlakunya ulser dan lebihan tisu dalam mulut yang dikenali sebagai denture fissuratum.

Oleh itu, di kala musim PKP ini, walaupun kita mungkin tidak berpeluang untuk berjumpa
dan menjalani pemeriksaan dengan doktor gigi sekerap biasa, namun penjagaan terhadap gigi palsu serta mulut secara amnya seharusnya tidak diabaikan. Malah, penjagaan mulut (dan gigi serta seumpamanya) amat dititik beratkan dalam Islam. Nabi Muhammad SAW bersabda “Sekiranya tidak memberatkan umatku atau manusia, niscaya aku perintahkan kepada mereka untuk bersiwak (menggosok gigi) pada setiap kali hendak solat” (HR. Bukhari). Jadi, marilah kita sama-sama menjaga kebersihan mulut dan gigi kerana ia adalah anugerah yang diberikan oleh Allah SWT. Wallahualam.

Oleh: Prof Madya Dr Norhayati Luddin
Pensyarah Kanan dan Konsultant Prostodontik, Pusat Pengajian Sains Pergigian,
Universiti Sains Malaysia (USM)

Dr Aspalilah Alias
Pensyarah Anatomi, Fakulti Pergigian,